SHAH ALAM – Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin hangat apabila timbul dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bakal membuat pengumuman rasmi pada 19 September ini.
Presiden Parti Gemilang Anak Sabah (GAS), Datuk Jismit Japong mendakwa, beliau difahamkan Hajiji akan membuat pengumuman pada jam 4 petang tarikh berkenaan, namun menegaskan perkara itu belum dapat dipastikan kesahihannya.
Setakat ini, pejabat Ketua Menteri mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Pada 30 Ogos lalu, Hajiji ketika ditanya mengenai tarikh pembubaran DUN hanya memberi bayangan ia akan berlaku dalam masa terdekat, namun enggan mendedahkan tarikh sebenar.
Beliau, malah berseloroh bahawa pengamal media masih boleh bercuti “satu atau dua minggu lagi” sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Mengikut Perlembagaan Negeri, DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November 2025 jika tiada pembubaran awal dilakukan dan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.
Pilihan raya negeri kali ini dijangka hangat kerana ia akan menjadi penentu hala tuju politik Sabah selepas GRS memerintah sejak 2020.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001