SHAH ALAM – Aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard telah ditahan polis malam tadi.
Beliau kini disiasat kerana didakwa membuat kenyataan disifatkan sebagai menghasut dan memfitnah institusi diraja melalui ceramah politik yang tular di TikTok.
Peguam beliau, Rafique Rashid Ali memaklumkan, penahanan dilakukan oleh anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, JSJ Bukit Aman untuk tujuan siasatan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar turut mengesahkan penahanan itu berlaku pada sekitar jam 10.25 malam semalam, dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5).
Kes ini disiasat mengikut beberapa peruntukan iaitu Akta Hasutan 1948 (Seksyen 4(1), Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233).
Polis dijangka mengemukakan permohonan tahanan reman hari ini di IPD Dang Wangi.
Beliau membuat kenyataan itu dalam ucapannya di program Ceramah Perdana: Selamatkan Malaysia di Bagan Serai, Perak pada 29 Ogos lalu.
Dalam video tersebut, Chegu Bard mendakwa wujud “cubaan pihak tertentu untuk membuat orang Melayu hilang rasa hormat terhadap istana”.
Menurut M. Kumar, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mereka yang didapati membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, terutama yang boleh menimbulkan ketakutan awam atau menggugat keharmonian sosial.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001