Pemandu lori ‘getah’ raih podium Terengganu Merdeka 4X4 Challenge 2025

TERENGGANU – Ternyata pengalaman memandu lori ‘tipper’ untuk mengangkut kayu getah menjadi sandaran terbaik bagi pasukan Rubber Tipper meraih juara keseluruhan kategori ‘Short Wheel Base’ Terengganu Merdeka 4×4 Challenge 2025 yang melabuhkan tirai pada 31 Ogos lalu di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut Pengurus Pasukan, Muhammad Haikal Che Mat, team beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk menaiki podium di Kuala Nerus itu memandangkan cabaran litar agak ekstrem dan  teknikal untuk jentera lumba mereka beraksi.

“Kami meletakkan sasaran awal hanya untuk menamatkan perlumbaan ke garisan penamat bagi setiap SS, di mana kami hanya mempertaruhkan jentera Daihatsu Feroza 1.6 menggunakan karburator tanpa sebarang modifikasi kuasa enjin tambahan mahupun lain-lain ubah suai.

“Apa yang merisaukan adalah kemampuan jentera pasukan ini untuk meredah kawasan berpaya atau mempunyai anak sungai yang memberi cabaran berganda dalam perlumbaan ini.

“Kami hanyalah ‘team kampung’ di mana rata-rata di antara kami adalah yang bekerja sebagai pemandu lori ‘tipper’ mengangkat kayu getah dari kebun mahupun ladang di tempat kami,” ujarnya yang telah mengurus keperluan pasukan sejak 2022.

Rubber Tipper meraih 940 mata perlumbaan meletakkan pasukan itu selaku juara keseluruhan ‘Short Wheel Base’ untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama piala kemenangan dan hadiah tajaan berupa barangan alat ganti perlumbaan.

Di tempat kedua, dengan jurang 16 mata dinobatkan kepada pasukan Ariff Paloh, manakala pasukan Anok Derih yang mengutip 896 mata berada di tempat ketiga juara keseluruhan bagi kategori itu.

Perlumbaan yang mempertaruhkan 10 SS termasuk ‘SS Rally’ bagi kategori ‘Short Wheel Base’ dan ‘Long Wheel Base’ menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM13,300 untuk setiap pemenang termasuk pemenang tempat keempat dan kelima serta juga pelumba yang mencatat masa terpantas bagi setiap SS turut berpeluang meraih hadiah wang tunai.

Melihat pada jumlah penyertaan terbesar sejak dipertandingkan melibatkan 152 jentera lumba, pengarah pertandingan Muhammad Muzammil Mokhetar optimis bahawa edisi seterusnya akan diteruskan dan mempertimbangkan untuk mengekalkan venue pertandingan yang sama.

“Kami menerima pelbagai reaksi dari peserta bertanding di sini, di mana rata-rata mereka memberi reaksi positif bagi pemilihan venue pertandingan untuk edisi kali ini.

“Selain cabaran bentuk muka bumi yang mencabar, fasiliti mahupun kemudahan awam termasuk tanda awam dan surau tidak jauh dari litar pertandingan memberi kelebihan untuk setiap peserta hadir bersama keluarga mereka.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan tanda terima kasih di atas sokongan pelbagai pemegang taruh lain khusus di peringkat kementerian dan kerajaan negeri yang sudi memberi ruang dan peluang buat komuniti sukan lasak 4×4 ini beraksi,” ujarnya.

Muhammad Muzzammil merupakan Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4).

Edisi kelima perlumbaan jentera lasak 4×4 yang telah berlangsung selama tiga hari di Bandar Baru Kuala Nerus, Terengganu dianjurkan oleh Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) bersama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal pertandingan juga turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Tourism Malaysia), Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa agensi berkaitan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *