BUENOS AIRES – Lionel Messi bakal beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia terakhirnya bersama Argentina menentang Venezuela di Stadium Monumental, Khamis ini — aksi yang dijangka penuh emosi dengan seluruh ahli keluarganya hadir memberi sokongan.
Kapten berusia 38 tahun itu berkata perlawanan berkenaan amat istimewa kerana mungkin yang terakhir buatnya dalam aksi kelayakan, walaupun belum pasti untuk aksi persahabatan selepas ini.
“Ia akan jadi sesuatu yang sangat istimewa buat saya kerana ia perlawanan kelayakan terakhir. Saya tidak tahu sama ada akan ada aksi persahabatan atau perlawanan lain selepas ini,” kata pemenang Ballon d’Or lapan kali itu minggu lalu.
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni turut mengakui ia bakal menjadi detik bersejarah: “Jika benar ia yang terakhir, kita harus menikmatinya.”
Argentina sudah pun mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas mengungguli kelayakan zon Amerika Selatan dengan 35 mata, namun tiga lagi slot automatik masih menjadi rebutan menjelang aksi malam ini dan perlawanan terakhir pada 9 September.
Ecuador dan Brazil (25 mata) sudah layak, manakala Uruguay dan Paraguay (24 mata) serta Colombia (22 mata) kekal bersaing. Venezuela dengan 18 mata masih berpeluang memburu penampilan sulung di Piala Dunia.
Kempen ini juga menyaksikan beberapa detik bersejarah, termasuk kemenangan pertama Colombia ke atas Brazil dalam kelayakan apabila menewaskan mereka 2-1 di Barranquilla pada November 2023.
Uruguay pula memberi perpisahan penuh emosi kepada Luis Suarez yang bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas seri 0-0 dengan Paraguay pada September tahun lalu.
Lima perlawanan kelayakan berlangsung malam ini – Paraguay menentang Ecuador, Argentina bertemu Venezuela, Uruguay menentang Peru, Colombia melayan Bolivia dan Brazil menentang Chile.
Jika kedudukan masih belum muktamad, aksi terakhir pada 9 September akan menentukan siapa yang layak secara automatik ke kejohanan berprestij itu di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat tahun 2026. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001