Rombongan Pertubuhan Cik Siti Wan Kembang Adakan Kunjungan Hormat ke Kediaman Annuar

KETEREH – Satu kunjungan hormat yang penuh bersejarah telah diadakan oleh rombongan Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) ke kediaman tokoh politik tanah air, Tan Sri Annuar Musa.

Lawatan itu sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memperjuang dan memelihara warisan kebudayaan yang berkait rapat dengan tokoh legenda negeri ini, Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong.

Rombongan diketuai Yang Dipertua PWPPRCSWKM, Fadzillah Hussin telah mengadakan perbincangan mendalam bersama Annuar mengenai inisiatif penubuhan Kampung Warisan Budaya Puteri Saadong di Ketereh, iaitu satu kawasan yang amat signifikan dalam lipatan sejarah negeri Kelantan.

Menurut Fadzillah, pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh keikhlasan itu memberi banyak harapan kepada perjuangan PWPPRCSWKM dalam usaha memartabatkan warisan budaya Kelantan yang kaya dengan nilai sejarah, adat dan kesenian.

“Perjumpaan ini amat baik dan positif. Kami bersyukur atas keterbukaan dan sokongan Tan Sri Annuar dalam memberikan input yang bernas serta pandangan yang membina ke arah memelihara dan memulihara khazanah sejarah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong.

“Ini penting agar generasi akan datang tidak melupakan jati diri dan asal usul mereka termasuk menjadi posisi sebagai pusat rujukan sejarah bertaraf dunia.

“Apabila direalisasikan, ia diyakini berupaya menarik minat pelajar, penyelidik dan pengunjung dari seluruh dunia untuk datang menyelidiki sejarah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong, sekali gus menjadikannya mercu tanda kebanggaan negeri Kelantan,” ujarnya.

Rombongan PWPPRCSWKM turut dihadiri, Penasihat Akademik dan Penerangan, Dr. Sannusi Mat Yajid; Penasihat Alat Kebesaran dan Senjata Purba Pertubuhan, Mohd Noordin Ab. Hamid; Bendahari Agung, Noatiqi Rasidi; Penasihat Undang-Undang Pertubuhan, Muhamad Adib Dato’ Saat; Penolong Setiausaha Agung, Suhaila Salleh; Ahli Jawatankuasa, Maimum Abdullah dan Nazwan Nazlan serta Ahli Biro Warisan Kebudayaan, Amir Mukhtar Rasidi dan Nurheda Othman.

Fadzillah turut menyampaikan buku rasmi PWPPRCSWKM, “Ceritera Cik Siti Wan Kembang Kembara Merentas Zaman – Pewaris Akhir Ilmu dan Pemegang Amanah Hang Tuah” kepada Annuar.

Fadzillah berharap, Kampung Warisan Budaya Puteri Saadong dapat memainkan peranan sebagai pusat komuniti dan kebudayaan yang akan menampilkan elemen sejarah, mitos dan realiti kehidupan tokoh-tokoh wanita Kelantan terdahulu, khususnya Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong.

Kedua-dua tokoh itu, kata beliau, bukan sahaja simbol kekuatan wanita dalam sejarah negeri ini, malah menjadi lambang kebijaksanaan, keberanian dan kemuliaan dalam kepimpinan.

Melalui cadangan ini, pelbagai aspek warisan dijangka dihidupkan kembali, termasuk rekonstruksi rumah-rumah tradisional Kelantan, galeri sejarah Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang, bengkel kraf tangan dan seni warisan, persembahan budaya tradisional serta pusat pembelajaran adat resam Melayu Kelantan.

Annuar pula dalam pertemuan itu turut menyambut baik hasrat PWPPRCSWKM dan menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam usaha membangunkan Ketereh sebagai pusat budaya yang bukan sahaja dapat menarik pelancong tempatan dan luar negara, malah menjadi tempat pendidikan tidak formal bagi generasi muda.

“Saya melihat ini sebagai peluang besar untuk menyatukan elemen pembangunan, pelancongan dan pendidikan budaya dalam satu entiti yang kukuh.

“Kita tidak mahu warisan tokoh-tokoh besar negeri ini hanya tinggal nama. Ia perlu dihidupkan dengan pendekatan yang moden namun berakar pada nilai-nilai asli,” katanya.

Pada masa sama, Fadzillah turut menyeru agar lebih banyak pihak, baik kerajaan negeri, persekutuan mahupun sektor swasta tampil menyokong usaha pembangunan Kampung Warisan Budaya ini.

Beliau menekankan, usaha sebegini memerlukan sokongan menyeluruh agar dapat direalisasikan dalam bentuk yang holistik dan berimpak tinggi.

PWPPRCSWKM yang selama ini aktif dalam mempromosi dan mempertahankan warisan sejarah negeri Kelantan, dilihat sebagai antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dalam membawa naratif sejarah wanita Melayu ke arus perdana.

“Jadi, kunjungan ini bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi menjadi titik tolak penting dalam menyatukan pelbagai pihak demi satu matlamat besar dalam memastikan khazanah warisan seperti kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong terus hidup, dihargai dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

“Dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan antara PWPPRCSWKM dan Tan Sri Annuar Musa, harapan untuk melihat terbinanya Kampung Warisan Budaya Puteri Saadong semakin cerah dan hampir menjadi kenyataan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *