PULAU PINANG – Globetronics Technology Bhd (GTB), syarikat perhimpunan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT), mencatatkan hasil stabil sebanyak RM25.7 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2025, meningkat 3 peratus berbanding RM25.0 juta pada suku sebelumnya.
Peningkatan kecil itu mencerminkan aktiviti perniagaan yang masih terjaga meskipun berlaku kelembapan permintaan daripada sebahagian pelanggan utama.
Bagaimanapun, GTB merekodkan kerugian bersih RM0.5 juta pada suku dikaji, berbanding keuntungan bersih RM0.1 juta pada suku sebelumnya. Prestasi lebih lemah itu disebabkan terutamanya kerugian pertukaran asing berjumlah RM2.6 juta susulan penurunan Dolar AS.
Bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2025, syarikat mencatatkan hasil RM161.4 juta dengan keuntungan bersih RM10.4 juta.
Pihak pengurusan GTB berkata, walaupun prestasi keuntungan suku semasa terjejas, asas kewangan kumpulan kekal kukuh. “Kami terus melaksanakan pengurusan kos berhemat di samping melabur dalam keupayaan baharu untuk mengukuhkan daya saing serta meneroka peluang pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Pada November 2024, GTB menandatangani perjanjian dengan ChipMOS Technologies Inc, syarikat semikonduktor tersenarai di Bursa Saham Taiwan dan Nasdaq, bagi menyediakan perkhidmatan pemotongan, pembungkusan dan ujian produk litar bersepadu.
Perkongsian itu dijangka mengukuhkan keupayaan kedua-dua syarikat dalam segmen perkhidmatan hujung belakang semikonduktor sekali gus memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
GTB berkata, pihaknya akan terus mencari peluang perniagaan baharu dengan pendekatan optimistik tetapi berhati-hati, bagi mencapai prestasi kewangan memuaskan pada 2026.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001