TUMPAT – UMNO Tumpat bersetuju Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah, tidak perlu lagi ke Mahkamah Tinggi, sebaliknya dilaksanakan segera.
Ketua Penerangannya, Che Muhammad Redzuan Jihad berkata, Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah mengesahkan Titah Adendum itu wujud, sekali gus menoktahkan segala perdebatan yang merugikan masa.
“Titah ini tidak perlu lagi dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan, sebaliknya wajib terus dilaksanakan tanpa sebarang lengah.
“Sebelum ini, ramai mempertikaikan sama ada titah tersebut benar-benar wujud. Namun, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Peguam Negara, tiada lagi alasan untuk menangguh pelaksanaannya.
“Perlu diingat, Titah Adendum adalah perintah daripada Yang di-Pertuan Agong, bukan suatu dokumen biasa yang boleh dijadikan modal politik,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat, tiada keperluan untuk Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri keenam itu didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Jelas beliau, keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu jelas menunjukkan Titah Adendum berkenaan sememangnya wujud dan kini hanya perlu dilaksanakan.
“Jelas sekali dikatakan Titah Adendum itu wujud. Menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan, semakan mengenainya akan didengar di Mahkamah Tinggi sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak,” kata Mohamad.
Mengulas lanjut, Che Muhammad Redzuan berkata, jika perintah baginda sendiri memerlukan perbincangan dan penelitian yang panjang sebelum dilaksana, di manakah kedudukan institusi Raja-Raja Melayu, khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan negara ini.
Katanya, kuasa prerogatif baginda yang termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan membolehkan baginda mengampun, menunda atau meringankan hukuman bagi kesalahan di Wilayah Persekutuan, termasuk membenarkan tahanan dalam bentuk dan lokasi yang lebih selesa.
“Kita tidak seharusnya terikat secara berlebihan kepada undang-undang bertulis dan prosedur rumit yang dicipta manusia, sedangkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah dan tuan tanah di bumi Melayu telah diiktiraf sejak dahulu kala, bahkan oleh penjajah sekalipun.
“Isu ini bukan soal (Datuk Seri) Najib semata-mata, tetapi soal penghormatan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan pengiktirafan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.
“Apabila titah ini dibawa ke mahkamah untuk diputuskan, ia membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk mempertikaikannya, sekali gus menjejaskan kemuliaan institusi Raja,” katanya.
Katanya yang juga Peguambela & Peguamcara, jika benar kewujudan titah itu telah diputuskan, laksanakanlah segera.
“Pelaksanaannya tidak memprejudiskan keadilan terhadap sesiapa, malah rakyat sudah letih melihat isu ini berlarutan setiap hari.
“Demi menjaga martabat institusi Raja dan mengelakkan perpecahan, Titah Adendum ini sewajarnya terus dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan.
“Pertikaian yang berpanjangan akhirnya hanya membuang masa sehingga rakyat sudah bingung adakah ini pertikaian terhadap undang-undang atau sebenarnya semua orang mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong?,” soal beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001