YANGON: Serangan udara oleh junta tentera Myanmar ke atas kawasan perlombongan delima yang dikuasai kumpulan pemberontak mengorbankan 13 nyawa pada Sabtu.
Menurut seorang penduduk tempatan, serangan berlaku sekitar jam 8.15 pagi, mengorbankan tujuh orang di tempat kejadian, manakala enam lagi meninggal dunia akibat kecederaan.
Antara yang terbunuh termasuk seorang sami Buddha yang sedang mendapatkan sedekah makanan dan seorang bapa bersama anak lelakinya yang menaiki motosikal.
“Sebuah kereta yang sedang melalui kawasan itu turut terkena serangan. Tujuh orang cedera, termasuk pemandu kereta tersebut,” kata penduduk itu, yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.
Dalam pada itu, jurucakap bagi Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA), Lway Yay Oo, yang menguasai Mogok sejak musim panas lalu, mengesahkan jumlah kematian itu dan menambah bahawa 14 mangsa turut cedera.
“Tragedi berlaku pada waktu pagi ketika serangan udara menyasarkan kawasan awam. Terdapat ramai orang yang sedang berjalan di jalan raya, sebab itu jumlah kematian tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk memberikan sebarang komen.
Perang saudara terus melanda Myanmar sejak tentera merampas kuasa pada 2021, mencetuskan tentangan daripada gerila pro-demokrasi yang bergabung dengan kumpulan bersenjata etnik yang telah lama berjuang.
Pada awalnya, pasukan penentang itu berdepan kesukaran, namun satu serangan bersama yang dilancarkan hujung 2023 berjaya menawan beberapa kawasan termasuk bandar Mogok, pusat perdagangan delima utama negara itu.
Myanmar kaya dengan batu permata dan unsur nadir bumi yang menjadi rebutan semua pihak dan banyak dijual ke negara jiran seperti China untuk membiayai operasi ketenteraan masing-masing.
Tentera junta pada awalnya terkejut dengan serangan mengejut oleh kumpulan pemberontak gabungan itu, namun kemudian melaksanakan dasar kerahan tentera untuk memperkukuh kekuatan mereka.
Baru-baru ini, tentera kerajaan berjaya merampas semula beberapa kawasan penting di tengah Myanmar, termasuk pusat perlombongan emas di Thabeikkyin, yang ditawan lewat bulan lalu selepas pertempuran selama setahun. – AFP