Rekod bebas kecederaan Messi berakhir

MIAMI: Bintang Inter Miami, Lionel Messi dikeluarkan seawal minit ke-11 akibat kecederaan hamstring ketika menentang Necaxa dalam saingan Piala Liga.

Ia menamatkan rekod tanpa kecederaan paling lama pemain berusia 38 tahun itu sejak menyertai Inter Miami pada Julai 2023. Messi sudah bermain setiap minit dalam 16 perlawanan berturut-turut, merangkumi saingan MLS dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Kecederaan ini hadir hanya beberapa hari selepas Messi kembali beraksi dalam kemenangan 2-1 ke atas Atlas pada perlawanan pembukaan Piala Liga, di mana beliau menyumbang dua bantuan gol termasuk assist kemenangan lewat permainan.

Selepas Messi dikeluarkan, Telasco Segovia membuka jaringan buat Miami. Namun, pasukan tuan rumah kemudiannya bermain dengan 10 orang selepas Marcelo Weigandt dilayangkan kad merah kerana menghalang peluang menjaringkan gol. Necaxa menyamakan kedudukan menerusi Tomas Badaloni pada minit ke-33.

Necaxa pula kehilangan pemainnya apabila Cristian Calderon dilayangkan kad merah pada minit ke-60.

Kelab Mexico itu mendahului pemainan apabila Ricardo Monreal menemui sasaran pada minit ke-81.

Jordi Alba kembali menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti dengan kemenangan berpihak kepada Miami, 5-4.

Messi, pemenang lapan kali Ballon d’Or, masih belum menjaringkan gol dalam kempen Piala Liga kali ini, namun dalam saingan MLS, dia kini terikat di tangga teratas penjaring terbanyak dengan 18 gol.

Musim pertamanya di MLS pada tahun 2023 dibelenggu kecederaan kecil selepas kejayaan menjulang Piala Liga bersama Miami. Messi hanya sempat bermain enam daripada 12 aksi terakhir musim itu.

Pada tahun 2024, Messi berdepan pelbagai isu kesihatan termasuk kecederaan otot kaki yang dialami ketika mewakili Argentina di final Copa America.

Walaupun hanya tampil dalam 19 perlawanan MLS pada musim penuh pertamanya, Messi tetap muncul MVP liga dengan rekod 20 gol dan 16 bantuan jaringan. – REUTERS

Telegram:https://t.me/nasionaldaily

Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *