KUANTAN – Seorang anggota polis cedera ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan di sini, semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian itu menyebabkan Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, yang bertugas di Balai Polis Panching mengalami kecederaan di belakang badan, dagu dan jari tangan kiri.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung tindakan seorang lelaki mengamuk bersenjatakan parang di rumah itu.
“Ketika cuba mententeramkan keadaan, Mohd Shafril telah diserang oleh suspek dengan senjata berkenaan. Anggota itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis berjaya menangkap suspek berusia 37 tahun itu, yang tidak bekerja serta dipercayai mengalami masalah mental.
“Polis juga merampas beberapa senjata tajam di lokasi kejadian dan suspek turut dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA bagi pemeriksaan kesihatan mental,” katanya.
Katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata. – BERNAMA
Telegram:https://t.me/nasionaldaily
Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001