KUALA LUMPUR – Pendirian tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan tarif bersama Amerika Syarikat (AS) adalah langkah tepat yang sangat disokong.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Perdana Menteri telah menyatakan secara terbuka kepada AS dan kuasa asing lain, bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam campur tangan asing berkaitan dasar domestik seperti mengutamakan syarikat tempatan dan kedudukan istimewa Bumiputera.
Beliau menegaskan, tarif itu perlu menguntungkan kedua-dua pihak, bukan AS sahaja.
“Malaysia tidak harus kehilangan kedaulatan ekonominya hanya untuk memuaskan hati salah satu rakan dagangnya. Malaysia tidak perlu memberikan akses penuh ekonomi Malaysia kepada AS hanya kerana ancaman tarif 25 peratus. Malaysia bukan seperti sesetengah negara lain.
“Hakikatnya, AS juga memerlukan hubungan baik dengan Malaysia. Seperti yang dilaporkan oleh Financial Times, satu daripada lima cip semikonduktor yang diimport oleh AS datang dari Malaysia.
“Malaysia adalah pengeksport keenam terbesar dunia. Bukan itu sahaja, kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka adalah amat penting bagi pengaruh geopoplitik AS dan perdagangan Timur-Barat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Faiz, Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan strategik yang tidak dimiliki negara-negara lain dan AS akan terus menikmati kelebihan itu jika ia berusaha menjaga hubungan dua hala yang baik.
Jelas beliau, ekonomi AS juga akan terkesan jika Trump mengekalkan tarif yang tinggi terhadap pasaran import, termasuk Malaysia.
Justeru, katanya, ketegasan kerajaan Malaysia menunjukkan kesungguhan Anwar membina hala tuju ekonomi negara lebih mampan untuk kesejahteraan rakyat.
“Hala tuju yang tepat adalah kunci kepada kejayaan ekonomi negara untuk masa depan,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001