PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai hak perlembagaan yang tidak boleh dinafikan untuk bersuara, mengkritik dan memberi pandangan terhadap kerajaan.
Sebagai negarawan ulung dan warganegara Malaysia, suara mantan Perdana Menteri itu serta sesiapa sahaja dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, Sekretariat Orang Melayu (SOM) membidas balik kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak semena-mena melenting apabila Tun Dr. Mahathir menyatakan, Pilihan Raya Umum (PRU) bukan satu-satunya cara untuk menukar Perdana Menteri, sebaliknya boleh berlaku atas desakan rakyat.
Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya, hak untuk menyuarakan kebimbangan terhadap kepimpinan, dasar kerajaan dan prestasi pentadbiran terutama seperti yang berlaku dalam Kerajaan Madani sekarang, bukan sahaja dibenarkan, malah didorong sebagai sebahagian daripada semangat semak dan imbang dalam sistem pemerintahan demokrasi.
“Sebelum ini Anwar senyap, tidak bersuara apabila pelbagai pihak terutama rakyat bangkit, protes dan desak beliau letak jawatan kerana gagal mentadbir negara.
“Tetapi, apabila Tun Dr. Mahathir bersuara sedikit sahaja dalam Program Himpunan Amanat Negarawan di Stadium Suka Menanti di Alor Setar, Kedah malam semalam, Anwar melenting dan membidas tokoh politik itu dengan memutar kaset lama mengaitkan Tun Dr. Mahathir dan keluarga memiliki kekayaan berbilion ringgit.
“Bukan itu saja, Anwar juga mempersoalkan keikhlasan perjuangan tokoh tersebut (Tun Dr. Mahathir), yang kononnya mahu membela nasib orang Melayu, sedangkan kekayaan yang dikumpul tidak disalurkan kembali kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar membidas sikap segelintir tokoh politik lama yang lantang mengkritik kerajaan meskipun memiliki kekayaan berbilion ringgit.
Anwar turut mempersoalkan keikhlasan perjuangan tokoh-tokoh tersebut yang kononnya mahu membela nasib orang Melayu, sedangkan kekayaan yang dikumpul tidak disalurkan kembali kepada rakyat.
Jelas Marzuki, sebarang cubaan untuk menutup mulut Tun Dr. Mahathir dan melabelkannya sebagai penghasut kerana menyuarakan pandangan, adalah satu penindasan terhadap kebebasan bersuara dan satu penghinaan kepada prinsip demokrasi yang dijunjung bersama.
“Umum tahu, malah dunia pun tahu, Tun Dr. Mahathir telah memainkan peranan penting dalam membentuk wajah negara ini. Penglibatan beliau dalam perbincangan awam hari ini, termasuk memberi perhatian kepada desakan rakyat agar Perdana Menteri sekarang meletakkan jawatan adalah satu hak moral dan politik yang sah, bukan satu bentuk campur tangan yang melanggar undang-undang.
“Anwar dan Kerajaan Madani seharusnya menghormati hak mana-mana individu, termasuk Tun Dr. Mahathir untuk menyuarakan pandangan.
“Sebagai tokoh politik dan negarawan yang mempunyai pengalaman luas serta pengaruh yang besar dalam sejarah pembinaan negara, pandangan Tun Dr. Mahathir wajar dihormati dan dinilai secara objektif,” katanya.
Beliau menjelaskan, dalam tradisi demokrasi, kritikan terhadap pemerintah bukan suatu jenayah, sebaliknya proses semak dan imbang yang sihat bagi menjamin tadbir urus lebih telus serta bertanggungjawab.
“Kami juga ingin menegaskan apa-apa bentuk tekanan, tohmahan atau cubaan membungkam suara Tun Dr. Mahathir adalah satu penafian terhadap prinsip-prinsip asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
“Sebagai negarawan, pandangan Tun Dr. Mahathir boleh dianggap sebagai nasihat politik kepada rakyat, walaupun tidak lagi mengikat mana-mana pihak,” ujar beliau.
Mengenai dakwaan Anwar bahawa Tun Dr. Mahathir dan keluarga memiliki kekayaan berjumlah RM4 bilion, katanya, Perdana Menteri sudah ketandusan modal.
Katanya, sejak Mei tahun lalu, sudah lebih satu tahun Tun Dr. Mahathir minta Anwar kemukakan dokumen dan bukti keberadaan harta yang didakwa dicuri itu, tetapi sehingga hari ini, beliau gagal berbuat demikian.
“Bahkan, Tun Dr. Mahathir sendiri memberi jaminan, jika Anwar dapat mengemukakan bukti keberadaan wang sebanyak itu, beliau sendiri akan membawa pulang kesemua duit itu untuk didermakan kepada rakyat miskin.
“Anwar tidak berani dan tidak ada bukti untuk mengaitkannya dengan tuduhan itu, tetapi dia tetap mencanang kononnya Tun Dr. Mahathir memiliki kekayaan berbilion ringgit.
“Atas kegagalan mengemukakan bukti, Tun Dr. Mahathir pada Januari lalu, memfailkan saman ke atas Anwar dan Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 13 Ogos ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001