KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan bahawa menggantung beliau dan lapan lagi Ahli Parlimen parti itu kerana menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung hal ehwal kehakiman tidak akan menyelesaikan sebarang isu memandangkan mereka bertanggungjawab menyuarakan kebimbangan rakyat.
Rafizi berkata PKR dibina atas prinsip keterlibatan demokrasi dan mengingatkan kepimpinan parti agar tidak menyekat kritikan dalaman.
“Gantung kami tidak akan menyelesaikan apa-apa kerana kami dibayar oleh rakyat untuk menjadi suara mereka, dan kami akan terus bersuara,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
PKR akan hanya tinggal 22 kerusi Parlimen
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, gesaan daripada pimpinan peringkat bahagian untuk menggantung mereka hanya akan menyebabkan PKR tinggal 22 kerusi Parlimen, setaraf dengan parti dan gabungan lain seperti DAP, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau turut mempersoalkan pendekatan terpilih parti, dengan merujuk contoh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang pernah mengkritik Perdana Menteri dengan lebih lantang tanpa dikenakan tindakan disiplin.
Rafizi turut mengingatkan pemimpin akar umbi tentang asal-usul parti, bahawa PKR tidak dibina dengan menutup mulut anggota, tetapi dengan memberi ruang kepada semua untuk menyuarakan isu tanpa mengira jawatan.
“Daya tarikan PKR selama ini datang daripada sifat dinamiknya yang organik dan keupayaan bertindak balas secara pantas terhadap keresahan rakyat,” katanya.
Dalam nada sinis kepada ketua-ketua bahagian yang baru dipilih, Rafizi turut berkongsi peribahasa Melayu sebagai nasihat: “Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang negara tegur-tegurkan.”
Sabtu lalu, 11 Ketua Cabang PKR Kedah dan 19 Ketua Cabang Johor menggesa sembilan Ahli Parlimen terbabit kelihatannya dipimpin Rafizi supaya digantung keahlian kerana dilihat melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2.
Setakat ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata parti itu sedang mempertimbangkan usul berkenaan dan laporan rasmi berhubung desakan terbabit akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001