Zaharudin dakwa difitnah, keluar surat tuntutan kepada Steven Sim

PETALING JAYA – Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang didakwa memfitnahnya mempertikai pelantikan leftenan jeneral Cina pertama dan memperlekeh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Zaharudin menerusi LOD bertarikh 3 Julai menuntut timbalan setiausaha agung DAP itu memohon maaf, menarik balik kenyataan fitnahnya dan membayar pampasan RM1.5 juta sebagai ganti rugi.

Firma guaman Nur Maidin & Co dalam LOD itu menyatakan jika anak guamnya tidak menerima maklum balas memuaskan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan notis berkenaan, mereka diarah memulakan tindakan undang-undang lanjut.

Sementara itu, Zaharudin berkata, beliau ke pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Pulau Pinang untuk menyerahkan LOD itu sendiri kepada Sim, tetapi gagal kerana tiada sesiapa di pejabatnya semalam.

Beliau berkata, peguamnya akan menghantar LOD itu melalui e-mel juga.

“Kita jumpa di mahkamah atau mohon maaf sebagaimana dalam LOD,” katanya kepada FMT sambil mencabar Sim berdebat mengenai program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Terdahulu, Zaharudin dilaporkan berkata, hantaran kontroversinya yang disertakan gambar leftenan jeneral Cina pertama dalam ATM sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat berhubung MM2H yang didakwanya akan menuntut hak sebagai warganegara seperti mengundi.

Menantu Presiden PAS, Hadi Awang itu mendakwa gambar Johnny Lim Eng Seng hanya hiasan dan beliau tidak berniat menghina atau memperlekehkan pelantikan Lim.

Sim kemudian menyifatkan tindakan Zaharuddin mempertikai pelantikan Lim sebagai kenyataan jahat dan seolah-olah memperlekehkan kepercayaan ATM serta Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi angkatan itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *