Lelaki parah terjatuh ke landasan LRT di Stesen Subang Alam

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki parah pada kepala selepas terjatuh ke landasan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya di stesen Subang Alam dekat Seksyen 27, Shah Alam pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 8.07 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam terdiri lapan anggota bersama sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi untuk membantu.

“Komander operasi memaklumkan orang awam menarik keluar lelaki itu dari landasan sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya melalui kenyataan.

Mukhlis berkata, mangsa, 27, cedera parah pada kepala dan unit EMRS memberikan rawatan awal di tempat kejadian sementara menunggu ketibaan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu Rapid Rail Sdn Bhd melalui kenyataan mengesahkan kejadian itu membabitkan seorang penumpang yang menceroboh kawasan landasan stesen berkenaan.

Operasi menyelamat dijalankan anggota kecemasan dan Rapid Rail mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif di Laluan Kelana Jaya.

“Kereta api dari Putra Heights kini berhenti di stesen Alam Megah sebelum berpatah balik, manakala tren dari Gombak juga menamatkan perjalanan di Alam Megah sebelum berpatah balik ke Gombak,” katanya.

Rapid Rail berkata kemas kini mengenai gangguan perkhidmatan akan disediakan melalui platform media sosial dan pengumuman stesen Rapid KL.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *