KUALA LUMPUR: Kehadiran lebih tiga dekad UMNO di Sabah membuktikan parti itu bukan lagi boleh dilabel sebagai ‘parti luar’ atau ‘parti Malaya’, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada landskap politik Negeri Di Bawah Bayu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hanyalah ‘gabungan parti Malaya’, adalah tidak tepat kerana kedua-duanya turut mempunyai parti tempatan dalam komponen masing-masing.
“Ada yang kata PH dan BN hanyalah parti Malaya, namun sebenarnya dalam BN ada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti tempatan, manakala PH pula turut dianggotai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), juga parti lokal.
“Jadi kalau nak sebut BN-PH adalah parti Malaya semata-mata, itu tidak betul kerana kedua-dua gabungan ini jelas mempunyai komponen parti tempatan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Selayang 2025 di Kuang, Sungai Buloh, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Selayang, Reny Rahayu Mohd Ishak.
Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room Malaysia berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau dipertanggungjawab menggerakkan ‘war room’ di negeri itu bersama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, bagi memastikan jentera pilihan raya lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, ‘war room’ bukan hanya berfungsi mengumpul data semata-mata, sebaliknya merangkumi pembabitan semua sayap dan jentera parti termasuk Wanita, Pemuda, Puteri serta pasukan penerangan bagi memperkukuhkan gerak kerja pada peringkat akar umbi.
“Saya yakin engan pendekatan ini, UMNO yang sebelum ini memenangi 14 kerusi, boleh menambah kemenangan kerusi dan meraih kejayaan pada PRN akan datang,” katandya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001