Tutup Tirai 1446H: Hilangnya Sebutir Permata Ummah.

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

BERITA pagi Khamis, 25 Jun hari terakhir bulan hijrah 1446 mengejutkan aktivis, penyokong, pejuang dan sahabat handai Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty atau akrab disapa Ustaz Muhammad Nur berpulang ke rahmatullah.

Beliau seorang tokoh ilmuan, pendakwah dan aktivis gerakan Islam. Beliau pernah mencuba medan politik, menyertai parti siasah Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi imej dan watak Ustaz Muhammad lebih sesuai sebagai seorang tokoh pendakwah dan ilmuan.

Medan politik penuh berliku, keras dan terkandung tipu muslihat, ada kalanya kejam. Saya berpendapat watak Ustaz Muhammad memang sesuai sebagai ilmuan dan pendakwah.

Bagaimana tidak? Watak Ustaz Muhammad Nur memang lurus, tulus dan jujur. Beliau tidak mudah mengangkat dan meninggikan suara, tutur katanya sederhana penuh hikmah kelembutan. Beliau bukan mudah mencerca, menyindir dan sinikal seperti sesetengah ahli politik yang ‘gedebe’ dan ‘ponggah’.

Gaya berucapnya memang sosok seorang ilmuan, seorang pendakwah penuh berhikmah. Yang keluar dari lisan beliau fakta dan kebenaran bersulam nas-nas Al-Quran, hadis dan segala petikan dari sumber tradisi Islam, Timur dan Barat.

Beliau berpendidikan agama sejak zaman persekolahan hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah. Lulusan Universiti Temple, Philadelphia, Amerika Syarikat ini pernah berguru dengan Allahyarham Professor Dr Ismail Ragi al-Faruqi dan Professor Mahmoud Ayoub – dua tokoh sarjana Pengajian Islam tersohor di dunia Islam, berpengaruh pula di dunia barat yang kuat asakan sekularisme, liberalisme dan kapitalisme.

Maka, Ustaz Muhammad Nur terdedah kepada tradisi timur dan barat membolehkan beliau menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris untuk tujuan akademik, dakwah dan komunikasi yang sempurna di hadapan khalayak. 

Awal 1990an, ketika saya mula diterima bertugas sebagai wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kumpulan kami perlu menjalani kursus induksi selama seminggu.

Saya masih ingat Ustaz Muhammad Nur yang baru pulang dari Amerika Syarikat diundang sebagai fasilitator mengisi slot kerohanian kumpulan kami. Saya masih ingat beliau mengimamkan solat berjemaah dengan kekuatan tilawah al-Quran yang indah dan mesej ceramah yang mengajak kami berperanan secara professional dan beretika dalam menjalankan tanggungjawab sebagai tukang lapor.

Sejak itu persahabatan kami berterusan. Saya menganggap beliau sebagai guru, pembimbing, dan pakar rujuk jika ada perkara penting yang perlu dihalusi.

Ketika di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), kini dikenali sebagai Universiti Islam Selangor (UIS), pihak KUIS menganjurkan Seminar Pemikiran Muhammad Natsir, beliau berperanan penting mengemudi acara tersebut termasuk menjadi salah seorang narasumber terpenting.

Hebatnya beliau kerana rangkaian hubungan yang akrab dengan pemimpin dan aktivis gerakan Islam dalam dan luar negara. Ini kerana beliau pernah memimpin gerakan dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden yang sekali gus membuka pengenalan luas beliau untuk berinteraksi dengan tokoh-tokoh gerakan antarabangsa.

Beliau selalu pula diundang ke persidangan antarabangsa, bertemu tokoh-tokoh kenamaan, intelektual dan aktivis Islam. Hubungan rapat dan kesalingan berinteraksi dengan ramai tokoh gerakan Islam antarabangsa seperti Allahyarham Dr Yusof al-Qaradawi, Dr Ahmad Totonji, Dr Jamal Berzanji serta tokoh-tokoh gerakan Islam Nusantara memperkukuhkan perspektif dan sudut pandangan beliau terhadap Islam yang syumul, dinamik dan boleh menjawab cabaran-cabaran semasa.

Beliau bijak, pintar, cerdas tetapi paling penting memiliki hikmah dalam menyebarkan ilmu dan dakwah. Tidak semberono dan melulu bila berhujah tetapi mengajak khalayak berfikir kreatif dan kritis, misalnya ketika membahaskan isu nasib umat Islam Palestin. Betapa beliau menyebut ruang dan kelompongan besar kelemahan dunia Islam untuk menyaingi musuh-musuh Islam dari segi persenjataan dan strategi.

Namun, kekuatan pejuang Islam seperti di Palestin kerana semangat jihad yang cukup luar biasa dan kekuatan kerohanian yang jitu.

Dalam ziarah saya ke Hospital Islam Kampung Baru ketika beliau mula menerima rawatan kira-kira sebulan lalu, perkara sama dinyatakannya. Beliau mengagumi semangat juang rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Menurutnya, mereka bukan sahaja cekal, tabah dan sabar tetapi pintar.

Ustaz Muhammad Nur sebenarnya berhasrat menulis sebuah lagi buku tetapi hajat beliau tidak kesampaian.

Beliau turut memberitahu dalam pertemuan tersebut mahu melepaskan jawatan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menjelang akhir tahun ini dan mahu sepenuhnya menumpukan perhatian kepada usaha dakwah dan keilmuan.

Belum pun akhir tahun Masehi 2025, Ustaz Muhammad Nur Manuty telah dipanggil menghadap Ilahi pada pagi Khamis lalu.

Ketika solat jenazah selepas Asar di Masjid al-Umm Bandar Baru Bangi, ribuan kenalan dan sahabat handai hadir solat jenazah buat beliau. Suasana ibarat solat Jumaat.

Suasana pilu, syahdu dan kelu untuk mengukir kalimah terbaik tentang budi, jasa, pengorbanan dan istiqamah seorang tokoh murabbi yang tiada galang gantinya ini.

Demikian kita harus menerima ketentuan qada’ dan qadar Ilahi, ajal itu dalam genggaman Ilahi.

Beliau pulang ke negeri abadi selepas beberapa dekad mengabdikan diri kepada dunia ilmu, dakwah, pemikiran dan lapangan kehidupan untuk menyebarkan misi pencerahan dan pencerdasan umat.

Beliau berjihad lewat jalur dakwah dan medan ilmu membugarkan misi Islam sebagai agama Rahmatan lil Alamin.

Selamat Pulang ke negeri Abadi guru mulia kami. Semoga roh Allahyarham dihimpunkan bersama golongan solehin dan syuhadak serta dianugerahi pengampunan.

Negara kehilangan sebutir permata berharga, dunia Islam hilang seorang tokoh penting dakwah abad ini. Yang patah tumbuh, hilang belum tentu ada pengganti serupa.

Penulis, Mohd. Shah Abdullah, bekas wartawan dan Pensyarah Kanan Komunikasi. Beliau menganggap Allahyarham Dr Muhammad Nur Manuty sebagai guru dan pakar rujuk dalam pelbagai isu-isu Islam dan semasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *