Realiti dorong UMNO usahakan kerjasama dengan GRS

PETALING JAYA – Kesediaan UMNO Sabah untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang PRN disifatkan sebagai perhitungan yang mengambil kira dinamik politik yang telah berubah — perkembangan yang mungkin menandakan pengaruh Barisan Nasional (BN) semakin lemah di negeri itu, menurut penganalisis.

Pada Selasa, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan GRS pada PRN, tetapi hanya jika gabungan itu ‘ikhlas’ dalam rundingan pembahagian kerusi.

Kenyataan terbaru Bung itu menyimpang sama sekali daripada pendiriannya pada awal bulan ini, yang mana beliau dilapor berkata, UMNO Sabah hanya akan pertimbang kerjasama selepas pilihan raya.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah beritahu FMT, perubahan itu mungkin “respons pragmatik” terhadap perubahan landskap pilihan raya di negeri itu, di mana GRS muncul sebagai kuasa dominan.

“Pada masa sama, ia juga mungkin menandakan pengaruh BN semakin lemah di Sabah, memaksa UMNO mempertimbangkan kerjasama yang ia ketepikan sebelum ini,” katanya.

Bilcher berkata, perubahan sikap UMNO — daripada penolakan secara terang-terangan kepada keterbukaan untuk kerjasama — mencadangkan penyesuaian strategi disebabkan oleh ketidakseimbangan yang dirasakan dari segi pengaruh politik.

Beliau menambah sebarang perkongsian masa depan antara kedua-dua blok itu berkemungkinan transaksional, lebih didorong oleh perkiraan pilihan raya berbanding penjajaran ideologi atau saling mempercayai.

Bilcher juga beri amaran bahawa pakatan sedemikian akan rapuh dan terdedah pada perpecahan sekiranya tiada reformasi institusi bagi memupuk keadilan.

“Landskap politik Sabah amat memerlukan mekanisme yang menggalakkan rundingan telus, penyelesaian pertikaian yang adil dan perkongsian kuasa yang saksama.

“Hanya dengan itu pembinaan gabungan boleh menjadi lebih stabil dan boleh dipercayai di mata pengundi,” katanya.

Sementara itu, seorang penganalisis politik yang berpangkalan di Sabah, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, mengambil nada yang lebih kritikal — menyifatkan seruan Bung supaya ikhlas itu sebagai ‘ironik’, memandangkan penglibatannya dalam percubaan untuk menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor dua tahun lalu.

“Dia tidak sepatutnya menggunakan istilah ‘ikhlas’ kerana dia sendiri bekerjasama dengan pesaing untuk menggerakkan ‘Langkah Kinabalu’ dalam usaha untuk menjatuhkan Hajiji.

“Bukankah itu pengkhianatan? Jadi siapa sebenarnya yang tidak ikhlas?” kata penganalisis itu.

“Kenyataan terbaru beliau hanya mengesahkan Umno Sabah secara konsisten tidak konsisten. Itu tidak baik untuk Umno Sabah kerana orang Sabah mungkin mentafsirkannya sebagai Umno ‘terdesak’ dan tidak boleh bertanding sendirian. Di manakah keberanian dan keyakinan bahawa Umno Sabah boleh berdiri sendiri?” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata seruan Bung itu berpunca daripada “pengajaran” selepas timbulnya pergeseran apabila Umno dan Bersatu, ketika itu diketuai Hajiji, bekerjasama pada PRN lalu.

“Bung bercakap tentang keikhlasan kerana pengajaran daripada PRN lalu. Umno dan Bersatu bekerjasama, tetapi Bersatu meletakkan orang mereka sebagai calon bebas,” kata Azmi.

“Walaupun dipersetujui bahawa tidak akan ada pertembungan ‘olok-olok’, Bersatu meletakkan calon yang ‘menyamar’,” katanya.

Azmi juga berkata pendirian Bung mencerminkan pendirian Umno di peringkat persekutuan.

“Bukannya Bung berubah-ubah tentang kerjasama (dengan GRS).

“Sejak hari pertama, Umno mahu Umno Sabah bekerjasama dengan GRS dan PH. Bukan Bung yang berubah-ubah tetapi arahan pihak atasan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *