Kes SRC International: Najib lepas tanpa bebas

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib, 72, supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilepas tanpa dibebaskan.

“Tertuduh dilepas daripada semua pertuduhan dan diperintahkan DNAA. Pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini jika bersedia kelak,” kata hakim.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Pada minggu lalu, peguamnya memohon anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dengan alasan tuduhan terhadap anak guamnya sudah mengambil masa selama enam tahun.

Katanya, dokumen berkaitan kes SRC pertama sudah tersebar di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan dalam prosiding sivil.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *