KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memfailkan Permohonan Semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, membatalkan fatwa ke atas Sisters In Islam (SIS).
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, gesaan itu dibuat selepas Amanah mengadakan mesyuarat bulanan malam tadi dan telah membuat pendirian itu, bagi mengatasi isu penyelewangan akidah yang dibuat oleh organisasi seperti yang pernah berlaku ke atas Al-Arqam dan GISBH.
Kata beliau, Amanah juga melihat kes itu telah diputuskan secara majoriti sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan dan wajar serta mempunyai merit untuk disemak semula.
“Di samping itu, Amanah turut mencadangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri menubuhkan jawatankuasa bersama yang turut disertai JAKIM serta pihak berkuasa agama negeri-negeri.
“Ini bagi mengkaji kesan keputusan tersebut memandangkan ia dibuat oleh mahkamah tertinggi dalam negara termasuk mencadangkan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya kuasa pihak berkuasa agama Islam juga terpakai ke atas pertubuhan, sama ada persatuan atau syarikat agar kedudukan agama Islam diperkasakan selaras dengan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan semalam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta membenarkan rayuan perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa kepada pertubuhan dan institusi.
SIS Forum (Malaysia) berjaya dalam rayuannya berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan tersebut.
Dalam keputusan majoriti 3-1, Tengku Maimun berkata, keputusan itu hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan (perintah terperinci adalah sebagaimana dinyatakan dalam alasan penuh penghakiman).
Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi membatalkan fatwa berkenaan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001