ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengesahkan nama individu yang bakal dilantik sebagai Ketua Polis Negara (IGP) bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dijadual akan menamatkan kontrak pada 22 Jun ini.
Beliau juga enggan memaklumkan sama ada senarai sudah dihantar kepada pihak istana atau belum.
“Siapa yang beritahu? Benarkah? Nanti saya tanya Yang di-Pertuan Agong,” katanya secara berseloroh ketika ditanya pemberita berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Johor di sini hari ini.
Kenyataan Anwar itu hadir susulan ada laporan media yang mendakwa senarai nama calon IGP sudah dimuktamadkan oleh kerajaan dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pelantikan IGP merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, seperti diperuntukkan di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
