BANGKOK – Parti Bhumjaithai mengumumkan penarikan diri daripada kerajaan gabungan pimpinan Paetongtarn Shinawatra, susulan kebocoran rakaman panggilan telefon Perdana Menteri itu dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Perbualan menerusi telefon antara kedua mereka telah mencetuskan kemarahan awam dan ketegangan diplomatik.
Dalam kenyataan rasmi Bhumjaithai, iaitu parti kedua terbesar dalam gabungan dengan 69 kerusi parlimen – menyatakan tindakan Paetongtarn dalam perbualan tersebut telah “menjejaskan maruah negara, rakyat dan tentera Thailand” serta melemahkan keyakinan terhadap kepimpinannya.
Rakaman panggilan yang bocor pada 15 Jun itu menunjukkan Paetongtarn menyalahkan tentera Thailand atas peningkatan ketegangan sempadan dengan Kemboja, dan merayu agar Hun Sen tidak mendengar “pihak lain” di Thailand – dipercayai merujuk kepada seorang jeneral kanan tentera.
Parti Bhumjaithai menegaskan, mereka akan terus menyokong tentera dan pegawai yang mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara, dan menyeru Paetongtarn agar bertanggungjawab atas kenyataan didakwa mencemarkan imej negara.
Penarikan diri ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan pimpinan Pheu Thai, yang kini hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Perwakilan.
Ia juga berlaku di tengah-tengah ketegangan dalaman gabungan, termasuk perebutan kawalan ke atas Kementerian Dalam Negeri – portfolio berpengaruh yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul.
Pemerhati politik menjangkakan bahawa jika satu lagi parti kecil menarik diri, kerajaan Paetongtarn mungkin runtuh dan membuka jalan kepada pilihan raya umum baharu – hanya dua tahun selepas pilihan raya terakhir pada Mei 2023.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001