FMBA gesa kerajaan campur tangan kenaikan 14% tarif Elektrik

FMBA Rayu Kajian Semula dan Penangguhan Segera Pelaksanaan SST Diperluas

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), yang mewakili suara PKS dan pemegang taruh perniagaan merayu kerajaan menimbang semula serta menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Walaupun FMBA mengiktiraf objektif fiskal kerajaan, pihaknya bimbang terhadap kesan meluas dan negatif yang bakal menimpa perusahaan kecil dan sederhana, ekosistem perniagaan secara keseluruhan, kadar inflasi serta pengguna di Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Malik Abdullah berkata, kebimbangan utama pihaknya ialah kesan yang bakal dihadapi PKS dan pengguna apabila beban kos meningkat.

Menurut beliau, SST yang diperluas kini meliputi lebih banyak barangan dan perkhidmatan, termasuk sewaan, pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan serta pendidikan, dengan kadar cukai baharu antara lima hingga 10 peratus untuk barangan bukan keperluan terpilih dan enam hingga lapan peratus bagi perkhidmatan tambahan.

Katanya, PKS yang beroperasi dengan margin keuntungan tipis dan aliran tunai terhad akan berdepan kos input lebih tinggi akibat kesan berlapis SST dan kesan itu sangat ketara kerana 97 peratus barangan kini tertakluk kepada cukai jualan, termasuk input industri dan komersial yang penting untuk operasi perniagaan.

“Kemasukan barangan modal seperti jentera dan peralatan dalam asas cukai akan meningkatkan kos pelaburan, sekali gus berpotensi menghalang pengembangan dan inovasi perniagaan.

“Sebagai contoh, perniagaan logistik, pembuatan dan runcit yang bergantung pada premis sewaan boleh menyaksikan kenaikan kos tahunan antara RM24,000 hingga RM60,000 setiap premis, kos yang akhirnya terpaksa dipindahkan kepada pengguna atau memaksa perniagaan mengecilkan operasi mereka.

“SST yang diperluas juga dijangka menghakis perbelanjaan isi rumah, terutama kumpulan B40 dan M40 yang sudah pun memperuntukkan sebahagian besar pendapatan kepada keperluan asas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata beliau, walaupun sesetengah barangan asas masih dikecualikan, cukai ke atas bahan mentah dan barangan perantaraan pasti akan meningkatkan harga runcit, seterusnya mencetuskan inflasi kos.

Ujar Abdul Malik lagi, jaringan cukai yang lebih luas ke atas perkhidmatan, termasuk sewaan dan pajakan akan meningkatkan kos operasi perniagaan, yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga, sekali gus melemahkan permintaan pengguna serta perbelanjaan tidak wajib.

Jelas beliau, ramai PKS tidak bersedia untuk rejim cukai yang diperluas ini, dengan masa dan panduan tidak mencukupi untuk memastikan pematuhan.

“Risiko ketidakpatuhan tidak sengaja adalah tinggi, walaupun kerajaan memberi tempoh kelonggaran sehingga Disember 2025.

“Panduan khusus mengikut sektor dan peraturan peralihan yang jelas amat diperlukan, terutama untuk perniagaan yang terlibat dalam bekalan bercampur dan yang baru terkesan oleh SST yang diperluas.

“Kementerian Kewangan pula menjangkakan tambahan kutipan SST sebanyak RM5 bilion hasil peluasan ini, namun angka ini perlu ditimbang dengan kemungkinan penguncupan aktiviti PKS dan perbelanjaan pengguna,” katanya.

Beliau menyatakan, penganalisis industri dan penyelidikan telah memberi amaran bahawa peluasan SST memberi kesan negatif kepada sektor pengguna, dengan jangkaan kebanyakan syarikat perlu menaikkan harga jualan, seterusnya menghakis kuasa beli pengguna. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *