DALAM tempoh dua minggu ini lebih lima kes kemalangan melibatkan bas ekspres berlaku di seluruh negara.
Dari bas terbabas, bas berlanggar dengan kereta sehingga bas merempuh kereta sebagaimana berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak awal pagi tadi.
Dalam kemalangan itu, dilaporkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggal dunia akibat tersepit dan kecederaan yang dialami, manakala lebih 30 lagi dilaporkan mengalami pelbagai kecederaan.
Dalam hal kemalangan ini terlalu sukar untuk membuat andaian, sama ada ia berlaku disebabkan kecuaian kedua-dua pihak iaitu pemandu bas atau pemandu kenderaan, atau faktor jalan raya.
Biasanya, kalau kemalangan itu berlaku di kawasan Pantai Timur, ia boleh dikatakan kerana faktor jalan raya seperti satu lorong sehala, gelap tiada lampu jalan, garisan putih sudah pudar, malah ada lokasi langsung tidak ada garisan putih dan jalan berlubang sana sini.
Ini fakta, bukan tuduhan. Sesiapa yang pernah alami dengan pemanduan sendiri akan berdepan dengan faktor-faktor yang dinyatakan ini. Pemandu normal sekalipun, kalau berhadapan dengan masalah ini, tidak dapat elak dari kemalangan.
Justeru, ada baiknya menteri turun padang melihat struktur jalan yang sering mengundang kemalangan maut ini. Jangan asyik nak salahkan pemandu. Sebagai pemandu, tidak ada yang mahukan kemalangan, melainkan yang mabuk dan dalam pengaruh dadah.
Masalah selalu didepani ialah ketika memandu waktu malam, garisan putih di tengah atau tepi jalan sudah hilang dek lapuk tak diperbaharui. Jalan gelap tiada lampu jalan dan permukaan jalan pula bagaikan kawah di bulan. Inipun masih nak salahkan pemandu, bukan pihak berkenaan.
Selain itu, jalan sempit, satu lorong juga faktor yang mengundang kepada kemalangan, tetapi JKR atau kerajaan langsung tidak mengambil kira masalah ini. Tetap masih nak salahkan pemandu, kononnya cuai dan sebagainya.
Apa salahnya kerajaan sediakan peruntukan untuk tukar jalan raya kepada lebuh raya. Mustahil perkara ini tidak dapat diatasi, kerana sejak sebelum merdeka sehingga 68 tahun merdeka pun keadaan jalan raya terutama JRTB masih tahap sama.
Bayangkan lebuh raya di ibu kota Kuala Lumpur, berapa ribu kilometer melingkari bersimpang siur sekitar bandar sahaja, dapat pula kerajaan sediakan peruntukan.
Kita ambil saja contoh, Kelantan. Sejak merdeka 68 tahun, satu meter lebuh raya pun tak ada, sedangkan negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis semuanya dah ada lebuh raya.
Lebuh raya lingkaran tengah yang ada sekarang pun, masih belum nampak bayang akan masuk ke Kelantan, melainkan penghubung di muka pintu sahaja.
Oleh itu, kepada yang diberi amanah dan tanggungjawab memerintah, tengok-tengokkanlah keadaan jalan raya di Kelantan. Kebanyakan kemalangan yang berlaku pun di Kelantan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001