‘Mila ikut jejak ibu bapa jadi anak wayang’

KUALA LUMPUR – Darah seni mengalir dalam tubuh Mila Mohsin diwarisi daripada orang tuanya yang cukup disegani dalam industri perfileman tanah air.

Siapa tidak kenal Allahyarham Hani Mohsin yang cukup menyerlah dalam filem Jimi Asmara dan Puan Sri Tiara Jacquelina yang sinonim dengan watak ikonik puteri Majapahit, iaitu Gusti Putri Retno Dumilah dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL).

Gabungan bakat dua figura hebat itu diperturunkan kepada Mila atau nama sebenarnya, Hani Karmila Hani Mohsin, 28, yang meneruskan legasi menjadi anak wayang.

Dibesarkan dalam lingkungan keluarga seni, Mila tidak menolak wujud tekanan dalam diri apabila ramai mengharapkan lakonannya sehebat ibu bapa.

“Apabila ada menaruh harapan tinggi dan mahu melihat hasil kerja saya sehebat ibu bapa, sudah tentu saya tertekan. Cuma, saya agak beruntung dapat melihat dedikasi, kecekalan dan kemahiran mereka.

“Dari situ, saya boleh nampak tahap mana mereka berada dan saya ingin melewati tahap itu.

“Dalam masa sama, saya tak boleh nak mengelak jika ada yang membandingkan lakonan kami. Saya tak kisah dan sedar tidak sehebat mereka, tapi saya nak ikut jejak langkah orang tua,” luahnya kepada BH Online.

Mengulas reaksi si ibu apabila memilih menjadi pelakon dan berjaya membolosi layar perak apabila membintangi filem Laknat arahan Saw Teong Hin, Mila berkata, ibunya sangat berbangga dengan pilihannya itu.

Bagaimanapun, sebagai seorang lebih banyak makan garam, Mila memaklumkan ibunya tetap menitipkan nasihat supaya langkahnya tidak tersasar.

“Alhamdulillah, ibu merestui saya berlakon filem. Secara kebetulan, pengarah filem Laknat menghubungi saya. Memandangkan pengarah filem adalah Saw Teong Hin, saya terus bersetuju. Kalau orang lain, mungkin saya tolak cara baik.

“Lagipun, saya sudah bersedia menceburi bidang lakonan. Ibu beri nasihat sebab risau. Ibu selalu ambil berat. Saya yakinkan ibu bahawa saya boleh buat dan tak perlu rasa gusar. Ibu besarkan dan didik saya dengan baik.

“Saya gembira dengan watak ditawarkan dan bersedia berdepan cabaran mendatang,” katanya.

Biarpun menyedari ibunya mempunyai pengaruh besar dalam industri perfileman, kata Mila, dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kelebihan itu demi menggapai impian.

“Saya sedar ramai sangka saya menceburi bidang lakonan disebabkan pengaruh ibu. Saya tak boleh nak kawal apa orang nak cakap atau fikir. Seperti orang lain, saya bekerja keras dan semua dikecapi hari ini atas usaha sendiri. Saya berbangga dengannya.

“Saya jalani uji bakat dan tiada jalan pintas untuk berjaya. Kalau diberi peluang, saya memang nak buktikan saya mampu berdikari.

“Saya bertuah mendapat pendedahan ini. Kehadiran saya dalam bidang seni juga bukan untuk bersaing atau menggugat sesiapa,” katanya.

Menceburi bidang lakonan ketika usia lewat 20-an, Mila tidak pernah menganggapnya sebagai terlambat.

Sebaliknya, kata bekas atlet dan jurulatih seni mempertahankan diri Jiu Jitsui itu, dia mahu mengumpul seberapa banyak ilmu dan pengalaman sebelum mengubah haluan menjadi anak wayang.

“Sebelum melangkah ke dunia lakonan, saya buat banyak benda. Antaranya, mengajar kanak-kanak di akademi, jurulatih Jiu Jitsu dan jurusolek profesional.

“Saya memang minat banyak benda dan gembira dapat menimba pengalaman. Saya tak pernah semuanya terlewat kerana ilmu ini dapat dipratik dalam kerjaya lakonan,” ujarnya.

Menjadikan Bront Palarae sebagai idola, Mila menyifatkan pelakon berkaliber itu sebagai contoh Malaysia tidak ketandusan pelakon hebat untuk diketengahkan ke peringkat global.

“Antara pelakon yang saya kagumi adalah Bront. Saya lihat Bront sebagai pelakon banyak memberikan inspirasi dan serba boleh. Saya juga bersedia membawakan apa sahaja watak sepertinya.

“Kalau ada peluang saya mahu lebarkan sayap lakonan ke Indonesia atau Thailand, mengapa tidak? Artis Malaysia sangat hebat dan berbakat besar.

“Saya rasa satu dunia patut melihat apa yang boleh kami berikan. Kami sangat berkemahiran. Apa yang Bront lakukan sangat mengagumkan kerana memberi kesedaran Malaysia mempunyai ramai pelakon berbakat, bekerja keras dan bertaraf dunia,” katanya.

Bersikap terbuka dan berbesar hati jika dapat digandingkan dengan ibu tercinta dalam satu naskhah. Selain berlakon, wajah jelita Mila juga turut menghiasi iklan komersial Malaysia Airlines. Mila juga pernah bergelar juara sukan Jiu Jitsu di Singapura pada 2022. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *