KOTA TINGGI – Dua pelajar maut dalam nahas membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Sedili Kecil-Tanjong Balau, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 2.35 petang melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Suzuki Swift.
“Siasatan awal mendapati kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita berusia 44 tahun dari arah Sedili ke Tanjung Balau, manakala motosikal ditunggang serta dibonceng dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 14 tahun dari arah bertentangan.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta tersebut.
“Dalam kemalangan itu penunggang dan pembonceng yang merupakan pelajar sekolah menengah cedera parah di kepala dan badan serta disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat Muhammad Adam Haris Al’Hafiz Norezmalshah Jasne dan Mohamad Alif Fahimi R Azmi kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan sementara pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 selain boleh juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001