ANKARA – Jumlah rakyat Palestin maut dalam serangan berterusan tentera Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 54,510 orang setakat semalam, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 40 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu manakala 208 lagi cedera, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang cedera kepada 124,901 orang akibat serangan berterusan Israel.
“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat mengakses mereka,” menurut kenyataan itu.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu dan sejak itu sudah mengorbankan 4,240 orang serta mencederakan hampir 12,860 yang lain, sekali gus memusnahkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari lalu.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perangnya di di wilayah berkenaan. – BERNAMA-ANADOLU
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001