Oleh: Zulkifli Mohamed
BELUM terlewat penulis mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nurul Izzah Anwar yang terpilih sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Kemenangan Nurul Izzah disusuli dengan pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada jemaah Menteri. Pada pandangan penulis, hal ini lebih menjurus kepada prinsip menerima tanggungjawab apabila seseorang itu tewas dalam pemilihan jawatan dalam parti. Ia adalah suatu yang biasa, bukannya janggal.
Dalam politik yang dinamik, tidak dinafikan bahawa proses artikulasi adalah penting. Hal ini bukanlah soal sama ada banyak atau tidaknya serangan ke atas peribadi atau pihak-pihak tertentu.
Sekiranya mengurangkan hentaman peribadi itu akan menjadikan demokrasi lebih bersih, lebih baik dan lebih berakhlak, barangkali inilah yang seharusnya dilakukan oleh kita semua.
Walau apa pun proses tersebut, sama ada berkempen atau berdebat, ia perkara wajib dalam setiap proses demokrasi yang perlu dihidup suburkan sebagai asas kepada kebebasan bersuara.
Kita telah melihat keputusan pemilihan PKR baru-baru ini dan bagaimana kempen dilaksanakan. Ia sesuatu yang sangat hebat dan penuh dengan amalan tradisi politik PKR yang membentuk daya tahan parti tersebut selama ini.
Parti yang wujud dengan slogan “Lawan tetap Lawan” dan “Reformasi” telah memperlihatkan kematangan politik yang belum pernah dilihat sebelum ini – berterus terang, bebas menyampaikan pandangan dan tidak bimbang untuk mengkritik pucuk pimpinan parti merupakan asas kekuatan politik PKR lebih daripada dua dekad.
Namun demikian, janganlah pula slogan tersebut disalahgunakan demi kepentingan politik sempit pihak tertentu.
Hakikatnya, ia merupakan slogan yang penuh makna jika digunakan pada tempat yang betul.
Teringat penulis akan amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap merasmikan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Beliau mengungkapkan “Kita harus kembali sebagai satu pasukan. Memanglah betul kita guna slogan ‘lawan tetap lawan’, tetapi lawan jangan dengan kawan”.
Walau ghairah berkempen, pendekatan RAHMAH perlu menjadi kata kunci sebuah artikulasi yang baik dan berakhlak.
Imam al-Raghib al-Isfahani di dalam kitab Mufradat Alfadz al-Quran mendefinisikan Rahmah sebagai kelembutan yang menuntut berbuat baik kepada yang disayangi.

Hal ini termasuklah elemen kelembutan, kasih sayang dan berbudi bahasa dalam pengucapan awam yang menjadi tuntutan agama dan simbol akhlak seseorang dalam menyampaikan buah fikirannya.
Hal ini pernah dinyatakan secara rinci oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden Amanah dalam satu tampalan beliau di halaman muka buku beliau pada tahun 2019 seperti berikut;
“Nilai-nilai yang dipotretkan dalam Rahmah akan diterjemah dalam pelaksanaan gagasan ke arah masyarakat Rahmah. Nilai-nilai ini tercerna daripada sifat mahmudah yang perlu ada dalam jiwa seorang Muslim yang berakhlak sebagaimana diajar agama kita, ia tidak dapat lari daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang menekankan nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia. Maka, sifat-sifat Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat semuanya telah diceritakan di dalam al-Quran tentang bagaimana untuk menguruskan kehidupan sesama insan dan alam”.
Hal ini selari dengan rukun Malaysia MADANI melalui pendekatan Ihsan dan Hormat. Ihsan bererti meyakini bahawa setiap tingkah laku kita sentiasa diperhatikan oleh Allah s.w.t. dan sewajarnya tutur kata serta gaya penyampaian kita juga berpaksikan akhlak seorang muslim.
Hormat pula bererti etika dalam menegur dan memberi nasihat kepada seseorang dengan cara bijaksana dan berseni, apatah lagi melibatkan individu yang lebih berusia dan berjasa kepada kita.
Sebagai pemerhati luar, penulis tidak berpihak kepada sesiapa, baik Rafizi Ramli yang mencetuskan tema HIRUK atau pun Nurul Izzah Anwar yang cuba memperkenalkan pendekatan DAMAI.
Kedua-dua tokoh muda ini memiliki kekuatan dan kompetensi ahli politik berwibawa, sudah pasti negara dan parti sangat memerlukan kepakaran dan pengalaman kedua-dua insan hebat ini.
Justeru, keputusan pemilihan yang telah diputuskan oleh ahli-ahli PKR baru-baru ini, seharusnya tidak menyebabkan perpecahan mahupun ‘peperangan’ yang berpanjangan di kalangan penyokong masing-masing. Mungkin ramai yang tidak memahami bahawa PKR wujud dengan cara dan DNAnya tersendiri – ia sebuah parti unik, yang terbentuk dan konsisten dengan falsafah keadilan untuk semua kaum dan agama tanpa bersikap prejudis mahupun pilih kasih dalam melaksanakan dasar-dasar dan pendekatannya.
Falsafah keadilan untuk semua cocok dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dipromosikan Parti Amanah Negara (AMANAH). Ia berupa gagasan yang menolak sikap melampau dalam tindakan, pengucapan dan beragama serta menjauhi elemen memperalat agama demi kepentingan politik kepartian.
Penulis percaya elemen tidak sihat begini tidak seharusnya meresapi kepimpinan PKR walau siapa pun yang akan menerajui pucuk pimpinan parti itu kelak. PKR akan bergerak dengan acuan dan tradisinya yang tersendiri – bebas mengkritik untuk menghidupkan demokrasi, namun akhirnya akan bertaut kembali sebagai satu pasukan.
Kita mempunyai banyak tugasan kerja yang belum selesai, memperkasa pasukan dan menyelami gagasan Rahmatan Lil Alamin serta agenda Madani bagi memperkukuhkan parti bagi menjelmakan kejayaan berterusan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001