KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan berhubung skim penipuan ponzi MBI International Group (MBI) membabitkan pembekuan aset dan harta lebih RM500 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penahanan individu terbabit menjadikan rampasan, penyitaan dan pembekuan harta serta aset keseluruhan bernilai RM3.8 bilion.
“Tangkapan menerusi Op Northern Star terhadap ketiga-tiga individu lelaki tempatan berusia 46, 54 dan 58 tahun itu dijalankan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang antara 1 Mei sehingga 17 Mei lalu.
“Ketiga-tiga individu berkenaan adalah proksi kepada perniagaan bagi mencuci wang hasil penipuan sindiket berkenaan, “katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, antara aset dan harta yang dibekukan dalam tangkapan ini adalah empat buah kapal layar mewah bernilai RM36.3 juta, 477 hartanah bernilai RM150 juta, empat unit kondominium (RM12 juta), 37 akaun bank (RM328,088,127.11) dan wang tunai (RM283,070).
“Turut disita dan dibekukan tiga kereta mewah bernilai RM637,100, dua jam tangan mewah bernilai RM160,000, lima telefon bimbit dan pelbagai dokumen.
“Dengan penahanan tiga individu berkenaan ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 17 individu dengan nilai keseluruhan pembekuan dan penyitaan sebanyak RM3.8 bilion, “katanya.
Pada 11 April lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya menahan lapan individu dan merampas aset bernilai RM3.17 bilion dipercayai berkait rapat dengan skim penipuan berkenaan.
Katanya, tangkapan berkenaan melalui tindakan rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat Notis Merah daripada Interpol.
Pada 22 April lalu pula Muhammed Hasbullah dilaporkan berkata beberapa lagi individu termasuk seorang usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air pada 18 hingga 21 April dan membeku aset dan harta bernilai RM3.51 bilion.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001