PEMBELA bantah dokumen CSO ASEAN kerana bertentangan dengan Perlembagaan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membuat bantahan tegas terhadap dokumen “Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia kerana mengandungi cadangan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusinya, Shuhaib Ar-Rumy Selamat menegaskan, dokumen dikemukakan gabungan Civil Society Organizations (CSO) ASEAN itu turut bertentangan dengan nilai Islam serta kedudukan istimewa Melayu serta bumiputera yang dijamin undang-undang.

Kata beliau, antara kandungan yang sangat membimbangkan itu ialah cadangan untuk memisahkan agama daripada negara, pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi LGBTQIA+, ratifikasi semula ICERD serta pelonggaran dasar kewarganegaraan secara automatik tanpa tapisan.

Jelasnya, semua itu adalah bentuk ancaman terhadap asas kenegaraan dan peruntukan utama dalam Perlembagaan.

“Dalam Seksyen 3.2 dokumen tersebut, CSO ASEAN mencadangkan: “Ensure separation of religion and state…”. Ini merupakan satu cadangan yang jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

“Ini adalah usaha terselindung dan terancang yang mahu menukar identiti negara ke arah menjadi sebuah negara sekular yang menafikan peranan Islam dalam pentadbiran kerajaan dan urusan kenegaraan.

“Seksyen 3.13 pula menyarankan pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi untuk LGBTQIA+. Ini bertentangan dengan hukum dan undang-undang Islam serta norma masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Shuhaib Ar-Rumy, undang-undang syariah di negeri-negeri telah mengharamkan perlakuan liwat dan transgender, bahkan Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman kes Sulaiman Takrib vs kerajaan Terengganu telah mengesahkan ajaran bercanggah dengan Islam boleh dihadkan dan diharamkan.

Ujar beliau, cadangan untuk ratifikasi semula ICERD yang telah ditolak secara besar-besaran oleh umat Islam dan rakyat Malaysia pada tahun 2018 kini muncul semula dalam Seksyen 3.5 dokumen tersebut.

Katanya, usaha seperti itu adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perkara 153 Perlembagaan yang melindungi hak istimewa Melayu dan bumiputera, selain merupakan serangan langsung ke atas kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia.

“Seksyen 3.7 pula mengandungi cadangan agar setiap anak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa warganegara Malaysia diberikan kewarganegaraan secara automatik tanpa mengira status perkahwinan atau tempat lahir.

“Perkara ini akan membuka pintu kepada kebanjiran kewarganegaraan tanpa tapisan dan seterusnya melemahkan kedaulatan undang-undang negara.

“Justeru, PEMBELA menolak sebarang cubaan membawa masuk prinsip hak asasi manusia berasaskan acuan barat dan tidak berpaksikan kepada agama Islam, budaya Melayu dan norma masyarakat Malaysia,” katanya.

Kata beliau, Malaysia mempunyai kerangka hak asasi tersendiri yang dibina atas asas undang-undang Islam dan Maqasid Syariah.

“Dokumen ini jelas tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia. la adalah suara sekelompok pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memaksakan fahaman liberal mereka ke atas negara ini tanpa menghormati sejarah dan sensitiviti agama serta kaum yang ada dalam masyarakat.

“PEMBELA menyeru kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menolak sekeras-kerasnya cadangan bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan Malaysia dalam ASEAN mesti berpaksikan kepada Islam sebagai agama negara dan kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera tanpa menafikan hak agama dan kaum lain sebagai asas bagi keamanan yang kita nikmati hari ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, PEMBELA juga menyeru seluruh NGO Islam, tokoh masyarakat, ahli akademik dan umat Islam di seluruh negara untuk bersatu menyuarakan penolakan terhadap dokumen itu secara sah dan berhemah, bagi mempertahankan maruah negara daripada anasir asing yang hendak merosakkan struktur masyarakat dan negara.

“Marilah kita bersatu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang ditunjangi oleh Islam, keluhuran undang-undang dan nilai-nilai murni yang diwarisi sejak dahulu lagi.

“Hanya dengan kesatuan kita dapat mengekalkan keharmonian dan kedaulatan yang dikurniakan Allah SWT kepada negara ini,” katanya yang merujuk gabungan PEMBELA mempunyai lebih 120 NGO Islam seluruh negara. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *