KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya yang dikaitkan dengan dakwaan penahanan seorang pelawak di Jeddah, Arab Saudi, Oktober lalu atas kesalahan berkaitan dadah dijangka memberi jawapan menerusi rakaman podcast dalam masa terdekat.
Menerusi hantaran dalam Instagram (IG) Gitu Gitu Empire, Yassin dilapor berkata, dia akan menjawab mengenai isu berkenaan menerusi siaran diberi nama Darkcast yang dikendalikan rakan seperjuangan dalam Senario, Saiful Apek.
“Saya akan jawab dalam Darkcast by Saiful Apek… apabila ditanya kepada @yassinsenario1978 berkenaan status beliau sekarang.
“Ikuti video penuh temubual eksklusif bersama @saifulapek di YT Channel Gitu Gitu Studio,” menurut keterangan Gitu Gitu Studio pada hantaran berkenaan.
Sementara itu, menerusi video petikan pendek atau ‘snippet’ rakaman podcast dimuatnaik yang menampilkan Yassin, pelawak itu ada berkongsi bahawa dirinya bukan penyeludup.
Bagaimanapun, konteks sebenar atau keseluruhan perkongsian disampaikan Yassin dalam podcast itu belum dapat dipastikan berikutan video penuh masih belum dimuatnaik.
“Saya tidak tahu undang-undang, aku ini salah. Tak ada orang nak beritahu perkara itu. Saya cakap dalam bahasa Inggeris ‘i’m not smuggle’ (saya bukan penyeludup).
“Dalam perjalanan saya pergi ‘ke situ’, yang pertama saya hubungi adalah ‘The God’ (Tuhan),” kata Yassin yang dipetik daripada video ringkas itu.
Semalam, media melaporkan, Yassin, 47, sudah kembali ke tanah air selepas melihat kemunculannya dalam satu sesi siaran langsung di TikTok.
Harian Metro melaporkan, isterinya, Farah Waheeda Maharidan mengesahkan kepulangan pelawak itu.
Terdahulu, seorang pelawak dilapor ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober lalu kerana kesalahan memiliki ganja.
Nama Yassin mula dikaitkan dengan insiden itu berikutan ketiadaannya bersama anggota Senario. Namun, rakan-rakan lain memilih untuk tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara itu ketika ditemubual.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001