ALOR GAJAH – Pemandu bas henti-henti, dirujuk penduduk tempatan sebagai ‘Bas Pink’ yang merempuh sebuah kereta dalam nahas meragut nyawa seorang lelaki di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) semalam, sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu di Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi membantu siasatan.
“Lelaki itu sudah menjalani saringan air kencing di Bahagian Narkotik Alor Gajah dan disahkan negatif. Dia juga tiada rekod jenayah dan saman trafik,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 4.55 petang di Lebuh AMJ dekat Taman Awan Biru, Sungai Petai, membabitkan bas dan kereta jenis Mitsubishi.
Katanya, bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bas Melaka Sentral menuju ke jalan AMJ, manakala kereta dipandu Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang juga pekerja subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari arah Rembia.
“Tiba di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum dirempuh bas dari belakang. Ia menyebabkan Muhammad Aiman tercampak keluar dari kereta dan terjatuh ke dalam longkang hingga parah di kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, luka di badan,” katanya.
Katanya, pemandu bas dan seorang penumpang wanita berusia 53 tahun tidak cedera.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian. Kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan kerosakan,” katanya dipetik Berita Harian.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat rakaman papan pemuka bas berkaitan kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tular dua rakaman video, masing-masing berdurasi 27 dan 35 saat memaparkan detik sebelum bas melanggar kereta mangsa yang berhenti di bahu jalan.
Berdasarkan rakaman itu, pemandu terbabit dipercayai terlelap sebelum terjaga apabila kenderaannya melanggar kereta terbabit.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001