KARACHI – Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban manakala 92 lagi cedera pada Sabtu susulan hujan lebat dan angin kencang yang melanda wilayah Punjab, di tengah timur Pakistan.
Menurut akhbar Dawn, yang memetik pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), lebih 10 kematian dilaporkan berpunca akibat runtuhan kediaman usang serta terdedah kepada persekitaran yang tidak selamat.
Laporan itu menyusuli amaran cuaca yang dikeluarkan sehari sebelumnya oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), mengenai ribut petir, angin kencang, ribut debu dan hujan di beberapa bahagian Punjab, Khyber Pakhtunkhwa dan Islamabad.
Menjelang lewat semalam, hujan lebat dan hujan batu melanda ibu negara Persekutuan serta beberapa kawasan di Khyber Pakhtunkhwa apabila awan gelap berkumpul di langit.
Di Lembah Swat, hujan lebat membasahi kawasan tersebut dengan laporan hujan batu di beberapa kawasan serta air sungai dan anak sungai yang melimpah.
Di bandar-bandar utama Punjab, termasuk Rawalpindi, Sialkot, Jhelum dan Lahore, ribut membawa angin kencang dan jarak penglihatan yang terhad, mendorong pihak berkuasa untuk menutup sementara beberapa bahagian lebuh raya atas faktor keselamatan.
Seorang pekerja kilang turut maut manakala lima yang lain cedera parah apabila bumbung kilang tempat mereka bekerja runtuh, menurut laporan Televisyen Pakistan yang dikendalikan kerajaan.
Seorang lagi mangsa maut selepas disambar petir.
Beberapa rumah yang diperbuat daripada tanah liat serta rumah yang tidak diselenggara dengan baik turut mengalami kerosakan akibat ribut.
PDMA sebelum ini mengeluarkan amaran cuaca pada Jumaat, berhubung kemungkinan berlaku angin kencang, ribut pasir dan hujan di beberapa kawasan di Punjab.
Menurut Ketua Pengarah PDMA, Irfan Ali Kathia, semua pusat operasi kecemasan daerah diaktifkan, manakala bilik kawalan pada peringkat negeri sedang memantau keadaan sepanjang masa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu semasa cuaca buruk dan menjauhi tiang elektrik serta wayar yang tergantung,” katanya.
Kathia berkata, bantuan kewangan akan disalurkan kepada keluarga yang terjejas mengikut dasar pentadbiran negeri.
Amaran cuaca terkini dikeluarkan pada petang Sabtu oleh Pusat Ramalan Cuaca Kebangsaan di Islamabad susulan ribut petir, hujan batu dan hujan lebat yang dijangka pada waktu malam hingga Ahad.
Ia memberi amaran mengenai kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur lemah, termasuk tiang elektrik, pokok, kenderaan dan panel solar.
Pakistan semakin kerap berdepan dengan kejadian cuaca melampau termasuk kemarau, gelombang haba dan banjir, yang dikaitkan dengan perubahan iklim.
Pada 2022, negara itu menyaksikan hujan monsun luar biasa menenggelamkan sebahagian besar wilayahnya, meragut kira-kira 1,700 nyawa dan menyebabkan kerugian infrastruktur melebihi AS$35 bilion (RM148 bilion). – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001