LANGKAWI – Enam cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan, termasuk sebuah trak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jalan Teluk Baru di sini, petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 2.50 petang itu, trak berkenaan dalam perjalanan membawa 28 anggota TLDM yang bertugas di segmen maritim sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).
Komander Hadapan Bilik Gerakan LIMA ’25, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Kanan I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3 petang.
“Susulan itu, sebuah jentera bersama 10 anggota dihantar ke lokasi bagi memberi bantuan.
“Setiba di tempat kejadian, pasukan mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah trak TLDM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, semua mangsa terbabit dalam kemalangan itu 30 orang.
“Daripada jumlah itu, enam mengalami kecederaan membabitkan lima lelaki dan seorang wanita, dengan seorang mangsa dilaporkan berada dalam Zon Merah.
“Selebihnya, masing-masing seorang mangsa dalam Zon Kuning dan Hijau serta tiga lagi mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Ahmad Aminuddin berkata, bomba menjalankan operasi memberi bantuan awal kepada mangsa sebelum menyerahkan mereka kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.41 petang,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
