Serangan merpati: MBPP minta orang ramai jangan beri makan burung

GEORGETOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan kompaun kepada lima individu bulan lalu kerana sengaja memberi makanan kepada burung merpati di tempat awam.

Menurut MBPP dalam kenyataan melalui Facebook semalam individu berkenaan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan kompaun RM250 bagi setiap kesalahan.

“Mereka juga boleh dikenakan tindakan mahkamah sekiranya masih ingkar atau tidak membayar kompaun bagi kesalahan terbabit.

“Mereka didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan memberi makan kepada burung merpati di tempat awam.

“Walaupun hebahan dan pendidikan awam sudah dilaksanakan MBPP, masih ada individu yang tidak mengendahkan nasihat berkenaan,” lapor Berita Harian.

Menurut MBPP, statistik pada April lalu merekodkan sebanyak 818 ekor merpati ditangkap dalam operasi kawalan populasi merpati berjadual di seluruh lokasi panas (hotspot).

Serentak dalam pelaksanaan operasi itu, MBPP melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran juga memusnahkan 36 sarang burung gagak pada April lalu.

“Sebagai langkah preventif berterusan, MBPP menyusun atur tindakan pemantauan dan operasi kawalan populasi merpati untuk dilaksanakan setiap hari mengikut lokasi yang ditetapkan dalam senarai pemantauan ketat,” kata MBPP.

Sementara itu, tinjauan mendapati masih ada segelintir yang engkar arahan MBPP supaya jangan beri makan merpati.

Tindakan bukan sahaja menyebabkan usaha mengatasi masalah lambakan burung menjadi sukar, bahkan kawasan sekitar turut dipenuhi dengan najis.

Beberapa kawasan di sekitar bandar raya dikenal pasti sebagai lokasi popular bagi pemberian makanan kepada burung merpati antaranya, Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lorong Stewart. Selain itu, di Jalan Penang, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah berhampiran Padang Kota Lama, Lebuh King selain Lebuh Pantai.

Di kawasan panas ini sudah dipasang papan tanda amaran menegah pemberian makanan kepada burung, namun malangnya masih ada individu dilihat memberi kepingan roti kepada burung merpati.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *