KUALA LUMPUR – Majlis WHIP Tanah Rizab Melayu (WHIP) dan Ahli Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyokong kenyataan Presiden Pertubuhan Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof. Dr. Ismail Omar berhubung pindaan undang-undang berkaitan hal ehwal tanah.
Presiden WHIP, Zaharah Sulaiman berkata, kenyataan itu yang disiarkan akhbar Berita Harian bertajuk, “Gubal Dasar Tanah Negara, pastikan sumber tak tergadai” sangat tepat pada masanya.
Jelas beliau, Dr. Ismail cuba mengetengahkan keperluan mendesak untuk kerajaan meminda undang-undang berkaitan hal ehwal tanah agar menyekat pencerobohan tanah milik kerajaan dan pembinaan tanpa kebenaran di atas tanah bukan milik sendiri.
“Sebagai entiti yang prihatin, kami menyokong penuh usaha serta cadangan Prof. Dr. Ismail yang menyeru pendekatan pragmatik dan sensitif melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyelaraskan dasar-dasar tanah, melaksanakannya melalui penguatkuasaan agensi-agensi yang diberi amanah dan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan kepada Nasionaldaily, hari ini.
Menurut beliau, pendirian mereka terhadap Dasar Tanah Negara mencakupi Perlindungan Tanah Rizab Melayu.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan mengikut (Perkara 89 dan 90, Enakmen Tanah Negeri, dan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu mesti kekal sebagai perlindungan utama bagi Tanah Rizab Melayu.
“Ini termasuk Tanah Adat Perpatih Negeri Sembilan, Tanah Adat Melaka, Tanah Adat Temenggong, Tanah Adat Naning dan Tanah Pegangan Melayu Terengganu.
“Selain itu, Perlindungan Tanah Orang Asli, Perlindungan Tanah Pertanian Melayu, dan Perlindungan kepada komposisi asal peratusan penduduk di kawasan yang akan dibangunkan semula dalam program ekonomi setempat melibatkan tanah-tanah yang disenaraikan itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Sebarang dasar tanah bersepadu tidak boleh melemahkan perlindungan ini dan sebaliknya perlu memperkukuh pelaksanaannya dalam semua urusan tanah,” ujar beliau.
Menurut Zaharah, walaupun pemodenan diperlukan, undang-undang tanah mesti menghormati adat tempatan dan kuasa negeri dalam hal ehwal tanah selaras dengan struktur Perlembagaan.
Kata beliau lagi, penekanan Prof. Dr. Ismail terhadap pendekatan pragmatik dan sensitif selari dengan pendirian WHIP dan IAAM bahawa kemajuan ekonomi tidak boleh mengorbankan warisan serta kedaulatan Melayu.
“Undang-undang tanah Malaysia perlu berkembang, tetapi tidak pada harga hak asal usul, kedaulatan dan perjanjian sejarah. Marilah kita melangkah maju dengan perpaduan, kebijaksanaan serta penghormatan terhadap prinsip asas negara,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
