Bayi kritikal akibat didera tunjuk perkembangan positif

MELAKA – Bayi lelaki berusia dua bulan yang sebelum ini kritikal selepas dipercayai didera ibu bapanya hingga tidak sedarkan diri, kini menunjukkan perkembangan positif.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bayi itu mula sedar dan minum susu menggunakan tiub sejak petang semalam, meskipun keadaannya masih lemah.

“Bayi berkenaan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Melaka dengan keadaannya semakin baik,” katanya dipetik laporan Astro Awani.

Terdahulu, media melaporkan ibu dan bapa bayi itu, masing-masing berusia 22 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes dera membabitkan anak mereka di sebuah rumah di Sungai Petai, Alor Gajah.

Siasatan awal mendapati ibu bayi berkenaan mendakwa anaknya mengalami sawan dan tidak sedarkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Bagaimanapun, pakar perubatan di Hospital Melaka mengesyaki berlaku penderaan selepas pemeriksaan termasuk imbasan CT mendapati terdapat kecederaan lama dan baharu, selain kesan lebam serta luka pada badan dan leher bayi itu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *