Blood Brothers kutip RM62 juta, hampiri Sheriff

Dipetik laporan oleh Norhayati Nordin @ Harian Metro

KUALA LUMPUR – Filem aksi popular, Blood Brothers: Bara Naga berjaya mencatat ‘box-office’ sebanyak RM62 juta dalam tempoh 20 hari tayangan, sekali gus bakal meleburkan rekod kutipan filem Sheriff: Narko Integriti, tahun lalu.

Pengarah, Syafiq Yusof berkata, filem Sherif: Narko Integriti yang juga mendapat sentuhannya secara keseluruhan berjaya mencatat kutipan RM64 juta, namun kali ini, Blood Brothers pula mencetus fenomena.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan Blood Brothers dan tidak menyangka ia mampu pergi sejauh ini dengan kutipan RM62 juta dan masih lagi mendapat sambutan baik penonton.

“Saya yakin filem Blood Brothers dapat mengatasi kutipan filem Sheriff dengan kutipan RM64 juta. Apapun, syukur Alhamdulillah dengan kejayaan ini.

“Selain itu, sudah 12 filem yang saya hasilkan dan Blood Brothers sangat mendapat promosi dan publisiti meluas daripada penerbit bersama, Primeworks Studios termasuk barisan pelakon.

“Setakat ini, boleh dikatakan semua pelakon Blood Brothers sanggup turun padang ke lokasi siri jelajah filem seluruh negara untuk bertemu penonton. Pembabitan pelakon sangat membantu,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Syafiq hadir ke lokasi ikonik, Bukit Bintang yang dipilih sebagai lokasi bagi meraikan kejayaan luar biasa menerusi pengumuman mengejut jumlah kutipan terkini Blood Brothers, RM62 juta di papan LED gergasi, semalam.

Menurut Syafiq, dia berterima kasih kepada bapanya juga penerbit, Datuk Yusof Haslam yang mengeluarkan separuh dana, kira-kira 50 peratus dari Skop Productions untuk pembikinan filem Blood Brothers: Bara Naga itu.

“Terima kasih terutamanya kepada bapa saya sebab dia sanggup keluarkan duit untuk hasilkan filem Blood Brothers, termasuk Primeworks Studios yang banyak membantu dari segi promosi.

“Apapun, saya sudah melakukan yang terbaik untuk filem Blood Brothers dan terima kasih tidak terhingga kepada penonton yang sudah menyaksikannya. Tunggu, kita ada sekuel nanti,” katanya.

Selain Syafiq dan Yusof, hadir sama dalam acara di Bukit Bintang itu ialah pengarah bersama Blood Brothers, Naga, Abhilash Chandra serta barisan pelakon seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Amir Nafis dan Razib Salimin.

Lebih 1,500 pengunjung di Bukit Bintang meraikan barisan penerbit, pengarah dan pelakon filem dalam sesi jelajah promosi yang diadakan.

Selain tayangan di Malaysia, filem Blood Brothers yang mengangkat kisah kehidupan kumpulan Mafia itu turut ditayangkan di dua negara jiran iaitu Singapura dan Brunei Darussalam.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *