Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning di Tapah, Perak malam tadi diumumkan secara rasmi oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebaik proses pengiraan undi selesai jam 9 malam.
Keputusannya jelas. Memihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Yusri Bakir dengan majoriti lebih besar, iaitu 5,006 undi. Angka ini lebih dua kali ganda yang diperolehi penyandang terdahulu, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Ishsam dari BN meninggal dunia pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang.
Kematiannya menyebabkan berlaku kekosongan kerusi DUN di Perak dan SPR mengisytiharkan pilihan raya kecil.
Pas dari gabungan Perikatan Nasional (PN) menamakan pemimpinnya, Abdul Muhaimin Malek sebagai calon untuk bertanding, manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang tak pernah menang-menang ni, mempertaruhkan Bawani KS bagi memeriahkan pertandingan tiga penjuru.
Hampir dua minggu tempoh berkempen ditetapkan SPR. Masing-masing parti bergabung termasuk yang solo turun ke kampung-kampung berkempen. Membawa misi dan visi untuk mempengaruhi pengundi.
Pas dengan sikap dan perangainya, kewarakan walaupun nampak jahil. UMNO pula umum dah tahu berpegang tangan dan cium ‘molot’ dengan bekas musuh ketatnya, DAP. Kedua-duanya nampak kolot. Tetapi, penentu kepada kekolotan itu terletak pada pengundi.
Sepanjang tempoh berkempen, kiranya teramat kenyanglah para pengundi dalam DUN Ayer Kuning. Dengan jemputan majlis berbuka puasanya, dengan majlis rumah terbukanya, dengan buah kurmanya, dengan duit rayanya. Pendek kata, kenyanglah untuk sebulan dua.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Begitulah suasananya kalau ada pilihan raya kecil. Lebih mewah dari pilihan raya umum. Seperti arwah Tok Guru Nik Aziz kata, ‘orang bagi gula, kucar; orang bagi kain, pakai; kalau tiba hari mengundi, undilah Pas’.
Tapi di DUN Ayer Kuning, ada satu step yang mereka tak ikut, iaitu ‘kalau tiba hari mengundi, undilah Pas’. Pengundi di sini, nampak sedikit kecerdikan. Mereka tidak terburu-buru memberi undi kepada calon Pas, sebab mereka sudah muak dan bosan dengan taktik atau kaedah berkempen yang dibawa oleh pimpinan Pas, termasuk rakan gabungannya, Parti Bersatu.
Lihat pada wajah-wajah pemimpin mereka pun, kalau boleh pengundi mahu ‘melarikan’ diri. Apa tidaknya, berpakaian warak, tetapi cakap, butir katanya tak serupa dengan kewarakan.
Begitu juga dengan pimpinan Bersatu. Dalam kempen asyik cari kesalahan kerajaan sekarang. Sedangkan, mereka lupa, mereka pernah jadi kerajaan dan rakyat turut merasai tempoh kerajaan mereka.
Bila pimpinan ini menegur dan mengkritik kerajaan sekarang, rakyat dapat buat berbandingan. Dua kali lima. Nak mengata sudu, dia yang lebih.
Jadi, atas kedangkalan itu, pengundi memilih untuk memberi undi kepada Mohamad Yusri sehingga mendapat 11,065 undi. Sedangkan, Abdul Muhaimin yang terkena tempias pendekatan lapuk pimpinannya hanya berpuas hati dengan 6,059 undi sahaja.
Bawani dari PSM mengumpul 1,106 undi. Kiranya banyak juga undi yang dia dapat.
Begitulah keadaannya setiap kali ada pilihan raya kecil. Pas dengan sikap nak tunjuk alim, Bersatu dengan sikap suka tuding jari. UMNO pula tetap mendakwa partinya kekal dengan perjuangan Melayu, walaupun nama UMNO telah ditukar netizen dengan panggilan UMDAP.
PKR masih dengan pemilihan yang huru hara. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
