JALUR Gemilang atau Bendera Malaysia bukan sekadar sepotong kain yang digantung atau dikibar sebagai perhiasan, tetapi ia sehelai kain dengan pelbagai warna dan lambang yang diperagakan untuk menterjemahkan kedaulatan, penghormatan dan martabat sesebuah negara, mengikut laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 9 Disember 2019.
Sejarah kewujudan Bendera Malaysia ini bermula dengan kreativiti seorang arkitek yang juga anak tempatan bernama Mohamed Hamzah (1918-1993). Istimewanya anak kelahiran Johor Bahru ini ialah bapanya, Hamzah Abdullah seorang mualaf, manakala ibunya Aminah Tahir seorang India Muslim.
Darah patriotik mengalir dalam tubuh Mohamed sehingga terciptanya sebuah lambang kebanggaan Tanah Melayu ketika dia berusia 20-an. Sehingga kini, Bendera Malaysia yang kemudian dipanggil Jalur Gemilang berkibar sepanjang hari tanpa henti.
Namun, kebelakangan ini masih ada segelintir rakyat yang mengaku warganegara, tetapi secara sengaja atau mungkin kerana tidak peka dengan lambang itu, sewenang-wenangnya mencacatkan fizikal Bendera Malaysia dengan sama ada menambah bucu bintang ataupun menghilangkan lambang bulan, atau menukar warna pada jalur.
Perbuatan ini bukan sahaja disifatkan sebagai penderhaka, malah boleh dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan kerana Bendera Malaysia sebenarnya tidak boleh dipermain atau diubah sesuka hati.
Kalau kita mengaku sebagai rakyat Malaysia tulen atau sejati, kita akan tahu sejarah kewujudan Bendera Malaysia ini dan apa gunanya lambang ini untuk sebuah negeri Tanah Melayu Persekutuan yang kita diami sejak sekian lama.
Dan, Bendera Malaysia ini bukannya mengalami perubahan sepanjang masa. Ia kekal sejak sebelum merdeka lagi.
Mengikut catatan Wikipedia, Bendera Malaysia atau Jalur Gemilang ini mengandungi 14 jalur merah dan putih secara melintang, yang mana jalur merah melambangkan keberanian rakyat Malaysia yang tiada bandingnya terhadap negara. Manakala jalur putih melambangkan kesucian negara, tanda keanggotaan 13 negeri dan satu Wilayah Persekutuan.
Bahagian segi empat berwarna biru tua di atas sebelah kiri – yang dipanggil kanton – melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Dalam kanton itu pula mengandungi anak bulan (bulan sabit) yang melambangkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan. Diikuti pula, bintang pecah 14, yang melambangkan perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Mengenai warna pula, kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-Raja Melayu.
Empat warna ini – biru tua, kuning, putih dan merah – melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia dan kemuliaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri bagi seluruh negeri di Malaysia.
Ianya sangat jelas. Dan, Bendera Malaysia@Jalur Gemilang ini diajar kepada rakyat Malaysia bermula dari tadika, pra sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Bahkan, yang di peringkat berkerjaya sehingga pencen pun sentiasa didedahkan dengan lambang bendera ini, selain bendera setiap negeri.
Tetapi, kenapa masih ada yang cuba mencabar kesabaran rakyat Malaysia dengan mempermainkan fizikal Bendera Malaysia@Jalur Gemilang ini? Tidak ada pengetahuan atau pendidikankah? Atau sengaja mahu meluka jiwa dan semangat rakyat Malaysia?
Kalau dikatakan tidak tahu bagaimana rupa bentuk Bendera Malaysia@Jalur Gemilang, kenapa tidak dapatkan nasihat atau pandangan daripada mereka yang lebih berpengetahuan mengenainya?
Bagi sesiapa yang sesuka hati meminda rupa bentuk Bendera Malaysia@Jalur Gemilang diharap akan terima natijahnya. Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan walaupun pelaku memohon maaf atau mengaku kesilapan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

