KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas ke atas individu yang cuba membawa kesesatan dan mencetuskan kecelaruan fatwa politik.
Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menegaskan, tindakan individu terbabit boleh memberi beberapa implikasi percanggahan dengan hukum syariat dan maslahat ummah.
“Kesesatan dan kecelaruan fatwa politik ini perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa agama memandangkan ia memberi beberapa implikasi percanggahan dengan hukum syariat dan maslahat ummah,” ujarnya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan memberi ‘signal’ supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Berita Harian melaporkan, Presiden Pas itu sebagai mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Mengulas lanjut, Dr. Mujahid menyifatkan kenyataan itu merujuk kepada para pengundi pilihan raya kecil di DUN Ayer Kuning, Perak yang sedang berlangsung sekarang.
“Abdul Hadi menyifatkan kemenangan calon Pas dari Perikatan Nasional (PN) sebagai kemenangan untuk Islam, sedangkan pertarungan demokrasi ini adalah untuk memilih parti mana yang lebih mampu menawarkan khidmat kepada rakyat, bukan pertarungan antara Islam dan yang anti Islam.
“Kenyataan ini cenderung membawa kepada ciri-ciri takfiri yang menganggap partinya sahaja mewakili Islam, manakala pihak lain tidak Islam. Walhal kedua-dua calon adalah daripada individu Muslim yang mewakili parti masing-masing.
“Kenyataan ini mengheret isu politik kepada isu aqidah walhal kedua-duanya jelas mempunyai premis hukum yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, soal melaksanakan ibadah haji adalah tuntutan rukun Islam kelima dan urusan untuk mendapat kelulusan menunaikan ibadah haji bukanlah mudah, malah bakal haji kini terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat tempat menerusi sistem kuota dan giliran menunggu.
Katanya, bayangkan Abdul Hadi meletakkan proses demokrasi mengundi lebih utama berbanding ibadah Haji yang merupakan ibadat khusus yang kini semakin sukar untuk mendapat kelulusan kuota dan pelbagai syarat semakin ketat.
“Para komentar pentaksub akan mengiyakan segala kenyataan Presiden Pas ini, sekali gus membahayakan kesatuan ummah yang terdorong kepada ketaksuban ketimbang ilmu dan kefahaman Siyasah Syar’iyah
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan segera bagi membendung tindakan tidak bertanggungjawab ini,” ujar beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001