Barcelona bangkit atasi Celta Vigo

BARCELONA – Kebangkitan Barelona dalam kemenangan 4-3 ke atas Celta Vigo membuktikan pasukan itu tidak pernah berputus asa, kata pengendalinya, Hansi Flick.

Penalti minit ke-98 Raphinha memberikan Barcelona kemenangan penting dalam pemburuan kejuaraan LaLiga yang menyaksikan mereka kini mempunyai jurang tujuh mata ke atas pasukan di tangga kedua, Real Madrid, yang akan bertemu Athletic Bilbao malam ini.

Menurut Flick, ia adalah kebangkitan yang sukar dilupakan, dan bukan mudah untuk menang selepas Borja Iglesias meledak hatrik yang meletakkan Celta 3-1 di depan.

“Apabila menang, kami menang perlawanan sebegini. Kami menentang pasukan yang sangat baik, mereka mempunyai keputusan bagus dalam 10 perlawanan terakhir.

“Jurulatih mereka melakukan tugas dengan hebat. Saya rasa gol-gol lawan tidak kena mengena dengan asakan kami. Biasanya kami mengasak dengan baik, tetapi hari ini kami melakukan kesilapan. Kami membuatkan lawan mudah menjaringkan gol.

“Tetapi pasukan memberikan segalanya, kami tidak berputus asa. Itulah mentaliti kami sekarang. Ia hebat.

“Saya tidak mahu bercakap tentang kesilapan yang pemain-pemain saya lakukan. Saya rasa semua dapat lihat yang pasukan tidak putus asa, mereka melakukan yang terbaik untuk 90 minit dan mendapat tiga mata,” kata Flick.

Dengan dua gol di babak kedua, Raphinha kini sudah meledak 30 gol untuk Barcelona dalam semua pertandingan.

Di sebalik kemenangan itu, Barca dibayangi kecederaan Robert Lewandowski yang terpaksa dikeluarkan di akhir permainan.

Kecederaan hamstring mungkin akan menghalang pemain 36 tahun itu untuk beraksi di final Copa del Rey menentang Real Madrid hujung minggu depan.

Barcelona turut berdepan Inter Milan di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah pada akhir bulan ini. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *