Hari ini Pak Long ingin kongsi salah sebuah emel yang pernah dikirimkan oleh arwah Azizi Hj Abdullah kepada Pak Long iaitu sebagai respons terhadap pandangan Pak Long berhubung tulisannya di blognya.
Bayangkan seorang penulis besar seperti arwah sudi menjawab komen seorang peminatnya. Dia boleh saja memilih untuk tidak ambil peduli pandangan seorang peminat. Sikap yang terpuji sukar dilupakan.
Ya Rabb, kau rahmatilah arwah para sasterawan yang telah mendahului kami.
Aamiin.
————
Azizi Abdullah tukya_azizi1426@yahoo.com.my 10.57 pagi, 22 September 2008.
Saudara Kassim,
Terima kasih kerana membuat teguran dan ingatan terhadap tulisan blog saya. Selama ini saya tidak tahu (malah tidak yakin) bahawa blog saya ini dikunjungi juga oleh mereka yang bukan agama Islam. Ini berdasarkan komen-komen yang tak seberapa.
Jika apa yang sdra sampaikan ini benar, maka saya sangat merasa bahawa saya sangat serba kekurangan ilmu untuk mereka. Maka sangat elok sdra seringlah memberi teguran atau pandangan.
Satu kelemahan saya (mungkin juga Melayu lain) ialah tidak dapat mengikis Melayu apabila menulis dari sudut pandangan Islam. Mungkin disebabkan percaya kata-kata: Kerana Melayulah kita Islam atau Islam itu Melayu, Melayu itu Islam.
Jika benar di atas sifat sebagai pendakwah, maka hal ini mesti kena buang. Pengertian ‘dakwah’ disempitkan, sehingga ada anggapan, menjadi pendakwah bertujuan mengajak orang kafir memeluk Islam dengan hanya mengajak mereka mengucap dua kalimah syahadah, tetapi soal-soal tujuan hidup, prinsip hidup, perjuangan dalam hidup dan politik dalam hidup tidak didakwah pun.
Mereka lebih banyak menyebut syurga dan neraka tidak memberitahu bahawa pergerakan seharian matlamatnya apa.
Terima kasih juga komentar panjang tentang artikel saya.
Kassim
4 perkara yang disebutkan itu, inilah yang tidak dapat diterima oleh yang bernama ulamak dan kebanyakan tuan guru. Bagi mereka walaupun Islam itu sejagat, tetapi mereka tetap memberi hujah sempit, seolah-olah Islam itu hanya untuk Melayu, sedangkan mereka tidak sedar kehebatan Islam lebih hebat di Cina, Rusia dan lain-lain bangsa.
Buktinya berapa kerat sangat ulama, pejuang Islam dari negara kita yang bertaraf dunia? Benar kebimbangan sdra dan inilah yang masih ramai di dalam Pas di peringkat kawasan dan cawangan.
Mereka guna ulama untuk membolehkan apa saja kesalahan, dan mereka mengangggap kesalahan hanya apabila melewatkan solat ketika mesyuarat, zina, minum arak dan menentang Islam. Tapi soal-soal lain mereka tetap jumud.
Sebab itu, sejak zaman Dato’ Fadhil Nor, dalam perjumpaan di Muassasah lagi, saya selalu kritik kepimimpinan ulama tentang tidak pandai menggunakan masa. Kata saya: Orang lain menjadual masa, kita membuang masa. Orang lain mengejar masa, kita melepas masa. Orang lain menghargai masa, kita mensia-sia masa.
Begitu juga teguran tentang konsert. Lihat, siapa dan bagaimana mereka menangani dan siapa pula yang menentang sangat itu? Sebab itu saya tidak bersetuju apabila penonton marah-marah kepada Hishamuddin Rais kerana membawa kumpulan penyanyi di perhimpunan dulu yang menonggek punggung. Kerana mereka terlampau fanatik, mereka bantah tak tentu pasal, sedangkan maksud persembahan itu mereka tidak pernah belajar. Ini fanatik.
Tak apalah. Soalnya kalau saya sangat banyak menulis begini, orang nanti persoal, siapa pula kita. Mengaji di mana? Atau dia sendiri pun tak terlepas.
Sekian saja dulu. Terima kasih banyak. Kadang-kadang mahu pula saya menulis: “Islam tak perlu dan saya lebih suka Islam tak menang”.
Ini pernah saya kemukakan kepada Tn Hj Yusuf Rawa ketika dia Presiden dulu. Alasan saya; “dengan tak menang, kita berjuang berkesinambungan dan inilah ruang jihad dapat dilakukan sepenuh masa”.
Maaf hingga jumpa lagi. Ke Pekan 18 Oktober saya dah cakap dengan Anuar Asmadi, 2PNP. Katanya dia pun mahu sama. – ND