Oleh: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
TUN Abdullah Ahmad Badawi adalah satu-satunya Perdana Menteri berlatarbelakangkan Pengajian Agama Islam dari Universiti Malaya (UM).
Allahyarham mendaki karier politiknya secara berperingkat dan melalui berbagai pengalaman pentadbiran eksekutif negara dari Menteri di JPM, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Timbalan Perdana Menteri.
Setiap pelajar berkelulusan agama, sepatutnya berasa bangga atas kejayaan tertinggi Allahyarham menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima.
Tidak hairanlah sejurus beliau diberi amanah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2004, Allahyarham memperkenalkan Islam Hadhari atau Civilizational Islam.
Susur galur keluarga dari keturunan ulamak, nendanya Tuan Guru Abdullah Fahim dan bapanya, Tuan Guru Ahmad Badawi terkenal sebagai ulamak yang bergiat dalam institusi pendidikan pondok.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah menyerlahkan ideanya mengenai kepimpinan negara melalui gagasan besar Islam Hadhari.
Islam Hadhari ini diperkenalkan dalam pemikiran yang progresif mencakupi prinsip Siyasah Syar’iyah (falsafah pentadbiran Islam) yang meletakkan kemakmuran negara dan keharmonian hidup rakyat sebagai teras falsafah beliau.
Hadhari meletakkan prinsip syariah sebagai kayu pengukur kepada apa sahaja pencapaian material yang diusahakan.
Selama sepenggal lebih beliau memegang jawatan Perdana Menteri kerajaan di bawah BN menikmati kestabilan apabila dalam PRU 2004 kebanyakan kerusi Parlimen dimenangi Barisan Alternatif, iaitu gabungan pembangkang PAS, Keadilan dan DAP pada tahun 1999 dapat dirampas semula.
Peribadi Allahyarham yang tenang dan tidak menyukai konflik dan sikap berterus terang beliau diuji melalui konflik dalaman UMNO pada masa itu yang menuntut beliau meletakkan jawatan. Antara alasan yang diberikan ialah pembangkang kembali dengan lebih kuat menafikan 2/3 majoriti yang dinikmati BN selama ini.
Pada tahun 2009, Pak Lah mengumumkan undur diri dari jawatan PM dan diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Setelah itu beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas dan menanti masa berhenti sepenuhnya dalam politik.
Negara kehilangan tokoh yang meletakkan inisiatif reformasi awal melalui Pelan Integrasi Nasional dan tumpuan kepada Modal Insan yang dirangkumkan dalam gagasan besar Islam Hadhari.
Semoga Pak Lah dicucuri Rahmah di alam baqa’ dan rakyat akan mengenang Allahyarham sebagai negarawan yang tenang dan berjiwa besar.
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden AMANAH dan juga Ahli Dewan Negara
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001