KUALA LUMPUR – Seluruh warga seni Indonesia berduka susulan pemergian sosok wanita disegani dan tokoh muzik bertaraf legenda, Titiek Puspa di Jakarta Selatan pada jam 4.25 petang kelmarin.
Selepas berjuang melawan sakit dialami akibat pecah pembuluh darah pada 26 Mac lalu yang akhirnya membawa kepada serangan angin ahmar, Titiek Puspa akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Medistra di Gatot Subroto ketika menerima rawatan.
Tidak terkira sumbangan diberikan bintang berusia 87 tahun ini dalam mewarnai dunia seni Indonesia sejak era pemerintahan Presiden Soekarno atau lebih tepat pada 1954 dengan ratusan karya sudah dihasilkan.
Bukan sahaja dalam bidang muzik atau penciptaan lagu, Titiek Puspa atau nama sebenar, Sudarwati turut aktif merancakkan industri perfileman.
Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon menyifatkan Titiek Puspa sebagai figura penting berikutan sumbangannya sebagai penyanyi, penulis lagu dan artis yang meletakkan asas dalam sejarah muzik Indonesia.
“Indonesia kehilangan seorang figura yang tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan muzik negara selama lebih enam dekad. Semoga Allah menerima amalannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, lagu Titiek Puspa terpahat dalam ingatan kolektif bangsa dan karyanya memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk mencipta nama di pentas seni Indonesia.
Pemergian Titiek Puspa turut meninggalkan kesan mendalam terhadap penggiat seni Indonesia.
Penyanyi dangdut, Inul Daratista yang dikenali cukup rapat dengan legenda digelar ‘Eyang’ itu, antara yang awal menzahirkan ucapan takziah.
Penyanyi dan komposer, Melly Goeslaw turut mengungkap rasa sedih atas pemergian Titiek Puspa, memberitahu karyawan hebat itu adalah wanita, seniman dan pencipta lagu wanita terbaik di Indonesia.
“Selamat jalan Eyang Titiek Puspa. Wanita hebat, seniman hebat, pencipta lagu wanita terbaik Indonesia. Eyang Titiek yang mengilhami saya berani membuat lagu meskipun tidak bisa main alat muzik,” tulis Melly di media
sosialnya.
Penyanyi senior, Betharia Sonatha menyampaikan ucapan dukacita atas pemergian Titiek Puspa.
“Semoga ‘tante’ Titiek Puspa husnul khotimah. Amiiin YRA,” tulis Betha dalam Instagram (IG).
Penyanyi senior, Yuni Shara juga mencurahkan kesedihannya atas khabar duka itu.
Melalui entri dimuat naik dalam IG, Yuni Shara berkongsi momen bersama Titiek Puspa dalam dua video dan satu potret.
Penyanyi, Kris Dayanti turut menyampaikan ucapan duka atas pemergian Titiek Puspa. Penyanyi yang kini bergelar ahli politik itu mendoakan agar legenda itu diberikan tempat terbaik di syurga.
Titiek Puspa dilahirkan di Tanjung, Kalimantan Selatan pada 1 November 1937. Kerjaya lebih 60 tahun bermula selepas dia memenangi pertandingan nyanyian di Semarang.
Pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Inem Pelayan Sexy (1976), Karminem (1977) dan Apanya Dong (1983), dia juga tampil dalam beberapa pementasan teater.
Dia dicalonkan untuk Anugerah Citra sebagai Pelakon Pembantu Terbaik dalam Ini Kisah Tiga Dara 2016) serta menerima anugerah pencapaian seumur hidup Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) dan Anugerah Muzik Indonesia.
Majalah Rolling Stone Indonesia menamakan Titiek Puspa sebagai salah seorang The Immortals, iaitu 25 artis terunggul Indonesia pada 2008, mengiktiraf tempatnya dalam kalangan legenda muzik terbesar di Indonesia.
Majalah itu memberi penghormatan kepada dua lagu, Kupu-Kupu Malam dan Bing, antara 150 lagu Indonesia terbaik sepanjang 2009.
Gambar Titiek Puspa turut diabadikan dalam edisi setem khas dilancarkan Pos Indonesia dan Kementerian Komunikasi dan Informasi pada 2020 bersama pemuzik legenda Chrisye, Gesang dan Gombloh yang meninggal dunia lebih awal.
Jenazah selamat dikebumikan di Wisma Puspa di kawasan Pancoran, Jakarta Selatan, petang semalam. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001