KUALA LUMPUR – Bakal jemaah haji musim 1446H/2025M diingatkan supaya memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah haji, sekali gus menjaga adab dan disiplin sepanjang tempoh berada di Tanah Suci nanti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menjelaskan panggilan haji adalah ‘jemputan istimewa’ daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih, justeru perlu disambut dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.
Beliau berkata, kecenderungan sesetengah jemaah untuk kerap memuat naik kandungan dalam media sosial, termasuk berswafoto di hadapan Kaabah serta melakukan siaran langsung melalui platform seperti TikTok, dikhuatiri boleh mengganggu maqasid atau tujuan sebenar ibadah itu.
“Kadangkala, ia turut mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah. Saya menasihati semua bakal Duyufurrahman tahun ini agar memfokus sepenuhnya kepada pengagungan Allah SWT, dan bukan ‘mengagungkan diri sendiri’ demi populariti melalui jumlah ‘likes’ atau ‘viewers’ dalam media sosial,” katanya kepada Bernama.
Zulkifli menegaskan maqasid haji ialah keikhlasan beribadah kerana Allah SWT, malah Rasulullah SAW sendiri berdoa supaya ibadah haji Baginda tidak terpalit dengan riak atau sum’ah (keinginan untuk mendapat pujian).
Sehubungan itu, beliau menyarankan bakal jemaah haji agar ‘berpuasa’ daripada mengemas kini media sosial, selain memanfaatkan sepenuhnya masa di Tanah Suci untuk memperbanyakkan amalan seperti solat, berdoa dan berzikir dalam usaha meraih kemanisan ibadah haji.
Selain aspek rohani, Zulkifli turut mengingatkan jemaah agar melakukan persiapan fizikal yang mencukupi sebelum berangkat kerana ibadah haji memerlukan banyak pergerakan, termasuk dari hotel ke masjid, ketika tawaf dan sa’i, dan juga ketika di Arafah, Muzdalifah serta Mina yang menuntut kekuatan tubuh badan dan ketahanan fizikal.
Sebagai persediaan terakhir, beliau menggalakkan jemaah menghadiri Kursus Perdana Haji anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di 22 lokasi seluruh negara dari 11 April hingga 4 Mei ini.
“Ia adalah kursus terakhir bagi bakal jemaah haji, sebagai platform ulang kaji serta merasai simulasi sebenar ibadah di Tanah Suci seperti tawaf, sa’i, melontar dan pemakaian ihram bagi jemaah lelaki.
“Dalam kursus ini juga akan dikongsikan tip-tip kesihatan, dan jemaah berpeluang bertanya secara langsung kepada pegawai TH serta Pembimbing Ibadat Haji yang terbabit sepanjang program berlangsung,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim ini dijadualkan pada 29 April, manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei depan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001