Pusat jagaan diarah tutup, semua kanak-kanak diselamatkan – KPWKM

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat jagaan kanak-kanak persendirian di Cheras, dekat sini diarahkan tutup susulan tular video mengenai layanan terhadap kanak-kanak di premis itu, baru-baru ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua 18 kanak-kanak di pusat jagaan itu melibatkan 12 lelaki dan enam perempuan turut diselamatkan.

Menurut KPWKM, mereka juga dibawa ke Hospital Kajang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat bagi proses saringan awal.

Langkah itu diambil selepas pemeriksaan dijalankan Pegawai Diberi Kuasa (PBDK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, PKMD Hulu Langat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas premis itu semalam.

“Susulan pemeriksaan itu, dua penjaga premis itu telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memandang serius kes itu dan pihaknya melalui JKM akan terus memantau situasi serta mengambil langkah susulan yang sewajarnya demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan.

Orang ramai yang tahu mengenai kes penderaan dinasihatkan untuk terus menghubungi Talian Kasih menerusi talian 15999 atau WhatsApp 019-2615999 atau terus ke PKMD terdekat bagi mendapatkan bantuan segera. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *