Armizan mahu ‘Datuk Z’ muncul dari alam ghaib

Oleh Manzaidi Mohd Amin dan Rudysham Abdul Raof

‘KATAKAN dengan lantang, tanpa ayat berlapik’, itulah kata-kata keramat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali selepas namanya dikaitkan dengan skandal rasuah lesen penerokaan mineral di Sabah.

Ahli Parlimen Papar itu juga turut mencabar pemimpin Umno, Jeffery Nor Mohamad dan Calvin Chong (Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat ke Parti Warisan) membantu beliau mencari sumber – dakwaan berkenaan – serta membawa ‘wartawan siasatan (X7)’ tampil bersama ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib dengan mendedahkan segala bukti yang ada.

“Saya merujuk kepada dua kenyataan media yang dibuat Jeffery dan Calvin pada 26 serta 27 Mac 2025. Mereka jadi ‘suara’ bangkitkan perkara yang terkandung dalam ‘mesej layang’ tanpa sumber dan nama yang sengaja ditularkan (mendakwa saya) dengan skandal rasuah berhubung mineral di Sabah.

“Saya minta kedua-dua individu ini bantu saya cari (sumber dakwaan). Bawa sekali ‘wartawan X7) bersama ‘Datuk Z’ keluar dari alam ghaib. Dedahkan segala bukti yang mereka ada. Itupun, sekiranya watak ini benar-benar wujud.

“Jika Jeffery dan Calvin tidak berjaya cari mereka, saya cabar buat kenyataan susulan bahawa saya terbabit rasuah. ‘Say it out loud (katakan dengan kuat)’, tanpa ayat berlapik. Selaku individu yang menggelarkan diri sebagai pemimpin, Jeffery dan Calvin perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan dan tidak bermodalkan fitnah untuk cipta persepsi politik,” kata Armizan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini, Armizan ditohmah apabila beliau dikatakan terbabit dengan skandal rasuah lessen penerokaan mineral di Sabah, maklumat ini didedahkan oleh seorang sumber dalam yang menggelarkan dirinya sebagi Datuk Z.

Bukti dua gambar yang didedahkan oleh Datuk Z kelihatan seperti Armizan yang berada di ibu pejabat Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei 2023. Bayan Resources adalah sebuah syarikat tersenarai awam di negara Garuda itu yang sangat kaya sifat perniagaan adalah perlombongan mineral arang batu di Balikpapan, Indonesia.

Di dalam gambar berkenaan turut kelihatan adalah Pemilik Saham Majoriti merangkap Presiden Bayan Resources, Low Tuck Kwong. Merujuk kepada laporan terkini Forbes, Low tersenarai dalam kedudukan ke-70 terkaya dunia dan inidividu kedua terkaya di Indonesia dengan asset bernilai USD27 billion.

Presiden Bayan Resources, Low Tuck Kwong

Seorang lagi individu bersama Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam imej berkenaan ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Bayan Resources, Lim Chai Hock warganegara Malaysia yang bermaustautin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Dua gambar yang memaparkan Armizan dikatakan diambil pada 16 Mei 2023 ketika majlis kunjung hormat secara rasmi Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) iaitu sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Sabah (GLC) dengan eksekutif tertinggi Bayan Resources di Jakarta, Indonesia.

Menurut sumber dalam Datuk Z, Bayan Resources berminat memohon lessen mencarigali mineral di Sabah. Oleh itu, Datuk Hajiji Noor selaku Ketua Menteri menghantar ‘orang kesayangannya’ iaitu Armizan ke mesyuarat berkenaan secara senyap atau ‘Off Record’ untuk berbincang dengan Low Tuck dan Chai Hock.

Dalam kenyataan itu, Armizan dikatakan turut mengadakan mesyuarat peribadi dengan Low Tuck dan Chai Hock pada hari yang sama. Armizan dikatakan memberitahu Datuk Z bahawa Bayan Resources berminat untuk memohon lima lesen carigali mineral arang batu di Sabah.

Hajiji meminta daripada Low Tuck dan Chai Hock setiap satu kelulusan lesen bernilai RM10 juta (bermakna RM50 juta bagi lima lesen).

Semalam, Jeffery Nor yang juga Pengarah Jabatan Pilihanraya Umno Sabah, mendakwa ramai rakyat tertanya-tanya sama ada sememangnya Armizan yang wujud di dalam gambar berkenaan atau sebaliknya.

“Ramai rakyat tanya betulkah muka Armizan yang dipaparkan dalam dua keping gambar itu. Saya berharap saudara Armizan memberi penjelasan adakah beliau hadir ke Ibu Pejabat Bayan Resources di Jakarta.

“Apa tujuan beliau jumpa dengan billionaire itu?” tanya Jeffery Nor.

Calvin Chong yang juga Adun Elopura dan ahli majlis tertinggi Parti Warisan turut mempersoalkan tindakan Armizan mengenai isu berkenaan dan meminta beliau menjelaskan secara terperinci.

Menurut Armizan, kenyataan yang dibuat itu sememangnya berbentuk fitnah dan ada usaha menjatuhkan politik beliau. “Saya nafi sekeras-kerasnya tuduhan liar ini. Ia satu kenyataan fitnah. Saya harap Jeffery dan Calvin atau sesiapa sahaja, termasuk pihak berkuasa bantu saya cari pihak yang boleh ambil tanggungjawab untuk mudahkan saya berdepan di mahkamah.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk saman fitnah mereka ini. Mereka boleh kemukakan segala bukti (sekiranya ada). Jangan baling batu sembunyi tangan. Tampilkan diri dan kita jumpa di mahkamah,” jelas beliau.

Beliau sememangnya agak musykil dengan pembabitannya dalam mesyuarat di ibu pejabat PT Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada 16 Mei 2023 dijadikan asas sebagai modal menfitnah dirinya.

“Ia adalah perjumpaan rasmi di antara pihak pengurusan kedua-dua pihak iaitu PT Bayan dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri. Tiada langsung pertemuan sulit dan kedua-dua gambar yang ditularkan itu secara jelas menunjukkan kehadiran pasukan pengurusan kedua-dua pihak.

“Pembabitan saya pada ketika itu adalah sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) SMM. Pada 16 Mei 2023, keahlian saya sebagai ALP SMM masih berkuatkuasa. Saya fikir penulis ‘mesej layang’ tidak mendapat maklumat tepat dari ‘sumber dalaman’ yang didkawa. Mungkin juga ‘sumber dalaman’ yang didkawa memberi maklumat dalam keadaan ‘mabuk’ sehingga terkhilaf.

Armizan menjelaskan, beliau akan mengambil tanggungjawab dalam setiap tindakannya bersandarkan Amanah yang diberikan.

“Saya juga harap semua pihak berpegang kepada prinsip yang sama. Sabah tidak boleh dibangunkan dengan bermodalkan fitnah tetapi perlu ada idea dan komitmen untuk menggerakkan hala tuju pembangunan negeri Di Bawah Bayu itu.

“Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang bankrap idea dan mempunyai sentiment serta persepsi yang berpaksikan fitnah dan caian, menuding jari cari salah orang lain tanpa melihat ‘track record’ sendiri,” kata Armizan. – ND

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *