SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan menyelia ujian ‘suicide dron’ atau dron pembunuh yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau dikatakan turut menegaskan bahawa kawalan kenderaan tanpa pemandu dan keupayaan AI mesti menjadi keutamaan dalam pembangunan senjata moden.
Menurut agensi berita kerajaan KCNA, Jong-un dilaporkan turut memeriksa dron peninjau yang dinaik taraf dan mampu mengesan pelbagai sasaran taktikal serta aktiviti musuh di darat dan laut.
“Bidang peralatan tanpa pemandu dan kecerdasan buatan perlu diberi keutamaan tertinggi dan dibangunkan dalam usaha memodenkan angkatan tentera,” katanya seperti yang dipetik oleh KCNA.
Negara bersenjata nuklear itu juga buat pertama kali secara rasmi mendedahkan pesawat amaran awal udara (AEW), satu keupayaan yang boleh meningkatkan sistem pertahanan udara Korea Utara yang sudah usang.
Melalui imej satelit komersial, penganalisis sebelum ini melaporkan bahawa Korea Utara sedang mengubah suai pesawat kargo buatan Rusia, Il-76, untuk digunakan untuk operasi amaran awal.
September lalu, Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) yang berpangkalan di London melaporkan, pesawat AEW boleh meningkatkan keberkesanan radar darat Korea Utara, yang sering terhalang oleh bentuk muka bumi berbukit di Semenanjung Korea.
“Kemampuan pesawat AEW untuk mengesan sasaran dari atas dapat mengurangkan cabaran membabitkan bentuk muka bumi dan gangguan pantulan isyarat radar dalam mengesan pesawat terbang rendah serta peluru berpandu,” kata laporan itu.
Namun, laporan itu menambah bahawa satu pesawat AEW sahaja tidak mencukupi, dan Korea Utara berisiko mengorbankan baki armada kargo mereka jika mahu membina lebih banyak pesawat seumpamanya.
Russia sebelum ini didakwa membekalkan Korea Utara dengan peluru berpandu anti-pesawat dan peralatan pertahanan udara yang tidak dinyatakan secara khusus.
Ia sebagai balasan atas penghantaran tentera Pyongyang bagi membantu perang di Ukraine, menurut Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Shin Won-sik, November lalu.
Selain itu, Jong-un turut dilaporkan memeriksa peralatan baharu untuk tujuan peninjauan, pengumpulan risikan, gangguan elektronik dan sistem serangan.
Tentera Korea Utara yang dikerahkan ke medan perang di Ukraine dipercayai terbabit dalam peperangan dron bagi memperoleh pengalaman tempur yang berharga.
Sementara itu, Korea Utara dilaporkan menghantar tambahan 3,000 tentera ke Russia tahun ini dan terus membekalkan peluru berpandu, artileri, serta peluru untuk membantu Moscow dalam perang menentang Kyiv.
Moscow dan Pyongyang belum mengesahkan secara rasmi penghantaran tentera itu, tetapi kedua-dua negara menandatangani perjanjian ketenteraan besar tahun lalu.
Menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS), dianggarkan 3,000 tentera tambahan dihantar antara Januari dan Februari sebagai pasukan penguat.
“Daripada 11,000 tentera Korea Utara yang dihantar ke Russia sebelum ini, kira-kira 4,000 dipercayai terbunuh atau cedera.
“Selain tenaga manusia, Korea Utara terus membekalkan peluru berpandu, peralatan artileri, dan peluru,” menurut laporan JCS.
Setakat ini, Korea Utara dilaporkan menyediakan sejumlah besar peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM), kira-kira 220 unit meriam gerak sendiri 170mm, serta pelancar roket berganda 240mm.
JCS turut memberi amaran bahawa ‘angka itu boleh meningkat bergantung kepada keadaan di medan perang’.
Pakar memberi amaran bahawa Korea Utara mungkin sedang menguji senjata untuk dieksport ke Russia untuk digunakan dalam perang menentang Ukraine. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001