Ronaldo bidas wartawan ‘biadab’

LISBON – Cristiano Ronaldo membidas soalan ‘biadab’ daripada wartawan menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Negara-Negara Eropah antara Portugal dan Denmark.

Portugal kendalian Roberto Martinez ketinggalan 1-0 menjelang aksi kedua selepas persembahan mengecewakan di Copenhagen pada Khamis.

Rasmus Hojlund masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol tunggal permainan untuk memberikan kelebihan kepada Denmark dan kemudian meraikan jaringan dengan gaya ‘siu’ Ronaldo.

Ronaldo, yang meledak 135 gol untuk negaranya, menjadi sasaran kritikan wartawan ketika sidang media.

Pemain 40 tahun itu hanya melakukan 30 sentuhan – paling sedikit untuk pemain selain penjaga gol – dan gagal melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit di atas padang.

Sebelum aksi kedua, wartawan Portugal mengkritik Ronaldo dan pasukan, sambil bertanya sama ada bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu masih berupaya bermain penuh di peringkat antarabangsa.

“Saya rasa suasana negatif menyelubungi pasukan kebangsaan. Saya lihat sidang akhbar beberapa hari lepas – saya tidak suka apa yang saya lihat.

“Dan secara jujurnya, sebahagian soalan yang anda tanya cukup biadab. Jika anda mahukan jawapan daripada saya, lihat mata saya apabila bertanya.

“Tak guna bertanyakan saya sesuatu kemudian tunduk melihat komputer anda. Anda ada masa untuk itu kemudian. Jika perlu, saya akan ulang 10 kali,” kata Ronaldo.

Portugal mengharungi tempoh yang sukar di bawah Martinez selepas tersingkir daripada Euro 2024 di peringkat suku akhir.

Ronaldo gagal menambah koleksi golnya di kejohanan berkenaan dan tempatnya dalam pasukan kebangsaan mula dipersoalkan.

Dengan lalu ke separuh akhir tampak suram, penyerang itu serta Martinez terus dikritik, dan Ronaldo mengakui dia dan rakan sepasukan rasa tertekan.

“Suasana lebih tegang. Saya tidak akan berselindung. Kami dalam situasi tertekan kerana kami perlu menang, tetapi itulah indahnya bola sepak. Esok, saya akan merayu kepada peminat untuk bersama kami.

“Untuk memberikan kekuatan kepada kami, kerana kami akan cuba melakukan yang terbaik. Itu harapan saya, esok akan menjadi hari yang indah buat semua.

“Tidak ada pilihan lain. Sesiapa yang bangga mewakili lambang ini perlu ada cita-cita ini. Saya pernah tewas perlawanan dalam tempoh 90 minit, tetapi saya tidak pernah tewas pada babak pertama. Esok adalah babak kedua,” katanya.

Ini bukan kali pertama Ronaldo berang terhadap wartawan, lapan tahun lalu dia melepaskan geramnya dengan lebih agresif apabila mencampak mikrofon ke dalam tasik. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *